JPJ Melaka beri amaran keras pengusaha, pemandu lori dagang

REMBIA 20 Disember – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka memandang serius kes kemalangan jalan raya yang disebabkan kenderaan perdagangan seperti lori rigid dan kenderaan bersendi (lori treler, lori tangki dan lori kontena).

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, kebanyakan punca kemalangan yang dikenal pasti adalah disebabkan teknikal kenderaan melibatkan kegagalan sistem brek berfungsi dengan baik.

Justeru, katanya, bagi mengurangkan peningkatan risiko kejadian seumpamanya, JPJ akan melaksanakan tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan penguatkuasaan ‘roadworthiness’.

Ia katanya termasuklah memperketat prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Ini selaras dengan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan pemeriksaan berkala (66B APJ 1987) di Puspakom mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan adalah selamat semasa digunakan di jalan raya.

“JPJ ingin mengingatkan kepada semua pengusaha pengangkutan dan juga pemandu kenderaan terutamanya kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan termasuk membuat pemeriksaan berkala di Puspakom,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Ops Khas Roadworthiness Kenderaan Perdagangan (OPS PUSPAKOM) di Puspakom Rembia, hari ini.

Menurutnya, menerusi ops khas itu, pihaknya menumpukan perhatian kepada penilaian standard dan tahap pematuhan pemeriksaan di Puspakom berhubung kualiti penyelenggaraan teknikal kenderaan.

Katanya, ia bagi memastikan kenderaan yang lulus pemeriksaan telah mencapai jaminan keselamatan tinggi untuk keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Ops khas ini melibatkan keanggotaan seramai 16 anggota penguatkuasa JPJ dan tiga anggota dari Bahagian Kejuruteraan Automotif melakukan pemeriksaan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Pengendali Kenderaan Awam dan Barangan serta pemeriksaan teknikal yang lain.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan terutamanya kegagalan melaksanakan aktiviti penyelenggaraan harian sebagaimana digariskan dalam Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Penangkutan Jalan 2010 (ICOP).

“Kegagalan mematuhinya akan diambil tindakan penyitaan dibawah Seksyen 64 Akta Penagngkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3479
Previous post Bayar cukai dapat motosikal
Next post Pintu gerbang selatan Melaka berwajah baharu