Bayar cukai dapat motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ALOR GAJAH 20 Disember – “Apabila diumumkan untuk menerima sebuah motosikal memang kami sekeluarga tidak percaya, namun apa pun kami berterima kasih dan bersyukur,” kata Amar Zulhilmi Ali Sidek, 27.

Amar Zuhilmi yang mewakili bapanya, Ali Sidek Omar, 56 merupakan antara dua pemenang utama dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Cabutan Insentif Cukai Taksiran MPAG Tahun 2021 telah membawa pulang sebuah motosikal Modenas Kriss 110.

Dia yang menetap di Taman Belimbing Setia berkata, kemenangan itu umpama hadiah tahun baru buat keluarganya yang sebelum ini memang merancang untuk membeli sebuah motosikal baharu bagi kegunaan bapanya.

“Sebelum ini kami memang rancang nak beli motosikal baharu sebab rumah kami tiada motosikal.

“Niat untuk beli motosikal itu sebab hendak mudahkan perjalanan ayah supaya senang untuk ke kedai mahupun ke surau.

“Bila diumumkan menerima hadiah ini memang macam tak percaya tetapi kami sangat bersyukur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu ujarnya, bapanya yang merupakan seorang kakitangan di Penjara Sungai Udang tidak pernah lalai melunaskan tanggungjawabnya bagi membayar cukai taksiran ke MPAG.

“Ayah setiap bulan memang tidak pernah putus bayar cukai untuk elak tunggakan.

“Sebagai masyarakat kita kena pasti tunaikan tanggungjawab ini kerana wang yang kita bayar ini membantu kita semula bagi memastikan daerah ini kekal sejahtera di bawah MPAG.

“Cukai yang disalurkan inilah yang membantu kita semula bagi memastikan infrastruktur dan prasarana yang diuruskan MPAG kekal terjamin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2079
Kongsi :
Previous post Ibu harapkan keajaiban anak akan sembuh
Next post JPJ Melaka beri amaran keras pengusaha, pemandu lori dagang
Ubah saiz-+=