Ibu harapkan keajaiban anak akan sembuh

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MACHAP JAYA 20 Disember – Seorang ibu mengharapkan keajaiban untuk anaknya, Muhammad Haikal Mohammad Taha, 20 yang terlantar sejak lebih setahun lalu akibat kemalangan pulih seperti sedia kala.

Menurut Faridah Yusop, 50, kemalangan motosikal yang berlaku pada 15 Mac tahun lalu menyebabkan anaknya yang merupakan seorang jurukimpal hilang upaya kekal dan hanya hidup dalam dunianya sendiri.

Walaupun ramai yang memaklumkan mustahil untuk anak ketiga daripada empat beradik itu pulih seperti biasa, namun, jauh di lubuk hati seorang ibu dia tetap yakin Muhammad Haikal boleh sembuh.

“Semasa pertama kali melihatnya, saya hampir pengsan kerana ketika diberitahu, saya sangkakan hanya kemalangan biasa sahaja.

“Akibat kemalangan itu Muhammad Haikal dirawat di Hospital Melaka selama 40 hari termasuk tidak sedarkan diri selama dua minggu.

“Alhamdulillah, sekarang keadaanya bertambah baik walaupun masih dalam dunianya sendiri tetapi apabila terdengar bunyi riuh rendah, dia akan membuka mata dan respon,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima faedah Orang Berinsurans (OB) dibawah Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin yang disampaikan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem yang turut dihadiri pengarah Perkeso Melaka Razak Omar, di kediamannya di Tebong, hari ini.

photo1671526007
FARIDAH

Pada kunjungan itu, Muhammad Haikal menerima faedah berjumlah RM64,745 yang dibayar secara pukal bagi bayaran pertama dan bayaran bulanan berjumlah RM1,430 selain tambahan Elaun Layan Sentiasa (ELS) diberikan kepada penjaga.

Faridah berkata, dia dan suami amat bersyukur apabila dimaklumkan anaknya itu layak menerima bayaran faedah daripada Perkeso sekali gus dapat meringankan beban perbelanjaan yang mencecah RM2,000 sebulan.

“Faedah diterima ini amat membantu perbelanjaan untuk anak, setiap bulan kami membelanjakan RM2,000 untuk susu, lampin pakaian buang dan beberapa keperluan harian lain. Jumlah itu semestinya amat besar dengan pendapatan ayahnya yang bekerja kampung dan saya pula berniaga di gerai makan.

“Sepanjang tempoh ini, perbelanjaan untuk Muhammad Haikal dibantu oleh saudara terdekat yang mana setiap bulan mereka akan memasukkan wang ke akaun saya terutamanya bagi pembelian susu yang memerlukan kos tinggi.

“Selain kos seperti susu dan lampin pakai buang, kami juga perlu kos untuk menyewa ambulans setiap kali membawa Muhammad Haikal ke hospital bagi rawatan susulan dan menjalani fisioterapi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2717
Kongsi :
Previous post Lantik konsultan bebas siasat isu mendapan tanah di Durian Tunggal
Next post Bayar cukai dapat motosikal
Ubah saiz-+=