Lantik konsultan bebas siasat isu mendapan tanah di Durian Tunggal

DURIAN TUNGGAL 20 Disember – Kerajaan Negeri akan melantik konsultan bebas bagi melihat isu mendapan tanah yang berlaku membabitkan sebuah perumahan di Bukit Tambun, di sini, baru-baru ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, konsultan bebas itu berperanan untuk melihat keseluruhan struktur tanah sama ada selamat atau tidak dan seterusnya membentang cadangan pembetulan bagi isu tersebut.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan melantik konsultan berkenaan bagi mendapatkan dapatan akhir sebelum ia diputuskan pada peringkat seterusnya.

“Pelantikan pihak ketiga ini adalah bertujuan memberi peluang dan melihat sama ada pemaju yang dilantik Kerajaan Negeri telah mengikut peraturan dan arahan teknikal (semasa pembinaan).

“Selepas menerima laporan teknikal, perkara ini akan kita angkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dipertimbangkan dan mengambil langkah selanjutnya.

“Saya jangkakan laporan dan dapatan ini akan kita terima dalam tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita di taman perumahan terjejas, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Pengarah Eksekutif LPM Mohd Salleh Hamidom.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, sementara menunggu tempoh kajian dan laporan teknikal disiapkan, penghuni di rumah paling hujung iaitu paling terjejas teruk dengan mendapan akan dipindahkan ke kediaman sementara yang lebih selamat disediakan pihak pemaju.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan meneliti dua lagi aduan penduduk di kawasan itu iaitu mengenai isu tiang elektrik senget dan bekalan air yang didakwa sering terjejas.

“Kita akan meneliti aspek teknikal bagaimana kita boleh betulkan segala masalah yang berlaku mengikut peraturan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 50 penghuni membabitkan dua buah lorong di taman perumahan itu hidup dalam serba ketakutan berikutan berlaku mendapan tanah yang dikhuatiri boleh menyebabkan tanah runtuh seperti yang terjadi dalam insiden di Batang Kali, Selangor.

Menurut penduduk, mendapan itu mula berlaku kira-kira sebulan lalu menyebabkan beberapa rumah mengalami keretakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1669
Previous post 11 barangan kawalan sempena krismas
Next post Ibu harapkan keajaiban anak akan sembuh