Juara dua kali karang sajak kongsi resepi

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Minat menulis dan membaca sejak kecil antara resepi juara dua kali Pertandingan Mengarang Sajak Kategori Menengah Rendah Peringkat Negeri Melaka.

Muhammad Raif Kamarul Anwar, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad itu mempertahankan kejuaraan tahun lalu dengan mempelbagaikan penggunaan ayat bombastik dalam mencipta sajak.

Ketika dihubungi, anak bongsu daripada dua beradik itu berkongsi persiapannya untuk ke pertandingan mengarang sajak peringkat kebangsaan dalam masa terdekat.

MUHAMMAD RAIF.

“Sejak dari kecil lagi memang saya suka membaca dan menulis, antara buku yang sering saya baca untuk mendapatkan ilham adalah buku bertajuk ‘Seteguh Dekad’ nukilan dari Prof.Datuk Dr.Sidek Baba.

“Suka untuk saya kongsikan dengan membaca banyak penggunaan perkataan yang boleh saya garapkan dalam menghasilkan sajak yang lebih bermakna.

“Dorongan dan pantauan ibu bapa juga antara yang mendisiplinkan saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang penulisan sajak ini,” jelasnya.

Pada masa sama, ibunya, Sarena Arepin, 43, yang juga guru Pendidikan Seni Visual berkata, dia menyedari minat anak keduanya itu sejak sekolah rendah.

Jelasnya, Muhammad Raif adalah seorang anak yang aktif dalam bidang kokurikulum sejak di  sekolah rendah lagi dan dia mula menulis puisi sejak kecil bagi mencabar dirinya sendiri.

“Saya dan suami sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan anak-anak selain kami turut memantau Muhammad Raif dalam persiapan menjelang pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan.

“Dia sentiasa bertanya dan meminta untuk saya semak sajak atau puisi yang dihasilkannya, dan selain sering mencetuskan idea yang bernafas baharu setiap dari nukilannya,” katanya.

Menurut Sarena anaknya turut memenangi tempat keempat bagi kategori deklamasi syair dalam pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Melaka itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1360
Kongsi :
Previous post Royal Chulan Penang jadi PKRC mulai 2 September
Next post ANGKASA perkasa jihad basmi ‘orang tengah’
Ubah saiz-+=