Jumaat hari bertutur bahasa Jawa di Kampung Paya Dalam

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER MOLEK 8 Mei – Dalam memastikan legasi keunikan masyarakat Jawa di Kampung Paya Dalam, di sini, terus diwarisi, beberapa inisiatif bakal dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata, antara inisiatif yang bakal dilakukan ialah memperkenalkan satu hari khas untuk masyarakat kampung berkenaan bertutur dalam bahasa jawa.

Jelas beliau, pihaknya mencadangkan hari Jumaat dipilih sebagi hari istimewa itu yang mana ia bertujuan untuk memastikan generasi muda masa kini tidak hilang identiti berkenaan pada masa akan datang.

“Saya cadang seminggu sekali iaitu pada Jumaat boleh dijadikan hari untuk masyarakat Kampung Paya Dalam bertutur bahasa jawa. Ia bertujuan untuk mengekalkan identiti masyarakat di kampung ini.

“Ini kerana, pada hari ini, ramai generasi baharu tidak pandai bertutur dalam bahasa jawa, malah ada yang lupa.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat memastikan legasi yang ada terus diwarisi dan pada masa sama ia juga menggalakkan lebih ramai orang di negeri ini mempelajari keunikan bahasa jawa ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 Anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Bangunan PERWAJA, baru-baru ini.

Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, pihaknya juga merancang untuk membuka kelas belajar bahasa jawa di kampung berkenaan tidak lama lagi.

“Jawa ini ada banyak bahasa antaranya jawa kasar, jawa biasa, jawa halus dan bermacam-macam lagi. Di Melaka kita kebanyakan bertutur dalam bahasa jawa biasa.

“Jadi, kita kini sedang mencari tenaga pengajar yang berkebolehan dan boleh mengajar silibus yang bersesuaian, khususnya untuk generasi muda,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post Rebut peluang jadi usahawan tani
Next post Paramedik Komuniti tarik minat Singapura, Indonesia
Ubah saiz-+=