Jumpa PM bincang isu penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Julai – Kakitangan awam seramai 1.2 juta ketika ini terpaksa mengeluarkan belanja tambahan kira-kira RM148 setiap bulan ekoran kenaikan harga barangan keperluan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan kajian dijalankan pihaknya penjawat awam terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan itu bagi membeli barang keperluan asas sejak berlaku kenaikan harga.

Menurutnya, bagi meringankan bebanan kewangan ditanggung penjawat awam, kerajaan perlu segera melaksanakan cadangan yang diutarakan oleh CUEPACS sebelum ini.

“Antara cadangan kami adalah melaksanakan gaji minimum penjawat awam RM1,800, menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih berkesan.

“CUEPACS menghargai keperihatinan kerajaan dalam melaksana usaha menangani kenaikan harga barang, namun hakikatnya ia masih tidak membantu penjawat awam berdepan kenaikan harga barang dengan keadaan gaji masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada program Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu Semasa Bersama Presiden CUEPACS di Dewan Canselori UTeM, di sini semalam.

Sehubungan itu katanya, CUEPACS bercadang menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan semula permintaan pihaknya yang diutarakan pada 13 Jun lalu.

“Kita mahu Perdana Menteri menimbang semula permintaan dan harapan 1.2 juta penjawat awam. Pada masa yang sama penjawat awam menerima gaji yang tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang,” katanya.

Mengenai penganjuran program Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu Semasa itu, kata Adnan, ia merupakan acara jelajah CUEPACS bagi memaklumkan kepada ahlinya tentang isu semasa.

“Ahli juga berpeluang meluahkan rasa tidak puas hati atau cadangan mereka mengenai sesuatu yang boleh kita kemukakan kepada kerajaan.

“Selain itu ahli juga menyokong sepenuhnya cadangan kita berhubung kenaikan gaji dan saraan baharu ini, malah ada juga yang mempersoalkan tentang kelewatan bayaran Gantian Cuti Rehat (GCR),” katanya.

Menurutnya, jelajah tersebut sebelum ini telah diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Sarawak dan seterusnya akan ke negeri-negeri Pantai Timur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1460
Kongsi :
Previous post Lelaki diburu buat laporan palsu bunuh isteri
Next post KKM agih stok penimbal ubat-ubatan kerajaan kepada klinik, hospital swasta
Ubah saiz-+=