KKM agih stok penimbal ubat-ubatan kerajaan kepada klinik, hospital swasta

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengagihkan stok penimbal ubat-ubatan kerajaan kepada klinik dan hospital swasta, susulan timbulnya situasi kekurangan ubat-ubatan di pasaran.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu merupakan susulan kepada pengumuman yang dibuat pada 13 Jun lepas berhubung peminjaman ubat-ubatan dari klinik kesihatan dan hospital KKM kepada klinik swasta, sebagai langkah penyelesaian sementara.

“Bagaimanapun isu kekurangan bekalan ubat masih berlarutan dan aduan masih saya terima terutama daripada farmasi komuniti dan klinik-klinik swasta kecil yang tidak dapat bekalan, terutamanya ubat-ubatan untuk batuk dan selesema serta ubat-ubatan untuk kegunaan kanak-kanak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata stok penimbal kerajaan diuruskan Pharmaniaga Bhd, dan pengagihan akan didahulukan kepada klinik-klinik dan hospital swasta yang mengalami kekurangan ubat.

Khairy berkata punca kekurangan ubat-ubatan adalah disebabkan permintaan di luar jangkaan, terutamanya ubat-ubatan demam, batuk dan selesema, jika dibandingkan sebelum tercetusnya pandemik.

“Ada banyak andaian kenapa ini berlaku, antaranya adalah sistem imun kanak-kanak sangat rendah disebabkan mereka berada di rumah untuk dua tahun dan tidak berhadapan dengan apa-apa kuman ataupun virus dan apabila keluar (kembali) mereka terdedah dengan sistem imun yang yang sangat lemah, ini menyebabkan peningkatan kes-kes selesema,” katanya.

Selain itu Khairy berkata antara punca kekurangan bekalan ubat di pasaran adalah kerana gangguan bekalan berikutan polisi ‘lockdown’ China memandangkan banyak ramuan dan bekalan ubat-ubatan datangnya daripada negara itu, serta masalah geopolitik di Ukraine.

“Kita telah berbincang dengan pengilang-pengilang, mereka akan tingkatkan produksi (pengeluaran) yang dikatakan akan lebih stabil pada suku tahun ketiga, iaitu dua bulan lagi. Sementara kita menunggu pengeluaran daripada kilang kita lebih stabil, saya setuju supaya stok penimbal kerajaan dilepaskan dahulu untuk klinik dan hospital swasta serta merta,” katanya.

Merujuk kepada kos ubat-ubatan stok penimbal yang diagihkan, Khairy berkata ia bergantung kepada permintaan daripada sektor kesihatan swasta.

“Apabila sudah dapat (permintaan), KKM akan tahu berapa banyak yang akan dilepaskan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Jumpa PM bincang isu penjawat awam
Next post MITI, Melaka bekerjasama rancakkan pelaburan
Ubah saiz-+=