MITI, Melaka bekerjasama rancakkan pelaburan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 15 Julai – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeratkan kerjasama dengan kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi bagi memperkasakan lagi kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Timbalan Menteri MITI, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, pelbagai pendekatan akan diambil memandangkan Melaka telah diiktiraf Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai negeri di tangga kelima menerima pelaburan tertinggi di negara ini.

Jelasnya, misi pelaburan dan perdagangan ke negara-negara yang berpotensi bagi menarik pelaburan asing ke negara ini merupakan antara pendekatan terbaik untuk dilaksanakan.

“Usaha berlarutan ini sentiasa berpanjangan sejak pandemik melanda negara di mana usaha MITI melalui MIDA juga turut mengadakan misi secara maya untuk memelihara hubungan baik antara pelabur asing dan luar negara.

“Semasa itu juga kita telah mewujudkan ‘Business Traveller Centre’ dan Pusat Sehenti untuk memudah cara kemasukan para pelabur asing ke Malaysia termasuk ke Melaka.

“Segala kemasukan pelaburan yang diterima hari ini juga adalah hasil daripada apa yang kita usahakan semasa pendemik lalu, walaupun sempadan negara ditutup tapi kita telah gunakan pendekatan lain untuk menarik pelabur asing ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Sumbangan Bot kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka di Restoran Seafearer, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kementerian itu selepas ini akan lebih memfokuskan kepada kemasukan pelaburan dalam bidang berteknologi tinggi sekali gus mampu mewujudkan pelbagai pekerjaan berpendapatan tinggi yang akan memberi limpahan kepada rakyat tempatan.

Ujarnya ia dilaksanakan selaras dengan Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA) dengan kerangka memfokuskan pelabura berteknologi tinggi berteraskan pendidikan.

“Beberapa sektor yang kita beri penekanan di Negeri Melaka ialah seperti farmasi, aeroangkasa, ekonomi digital, ekonomi hijau serta pelbagai lagi pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post KKM agih stok penimbal ubat-ubatan kerajaan kepada klinik, hospital swasta
Next post Guru KAFA disyaki hempas murid sehingga patah kaki direman
Ubah saiz-+=