
AB RAUF MAHU DAPATKAN HOSPITAL BAHARU DI MELAKA
SERI NEGERI 29 April – Kerajaan Melaka akan memohon pembinaan hospital baharu di negeri ini ekoran keperluan mendesak dalam sektor kesihatan awam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, fasiliti kesihatan itu amat diperlukan memandangkan berlaku pertambahan bilangan rakyat, selain peningkatan kes kecemasan di negeri ini saban tahun.
Justeru, beliau berkata, permohonan bagi pembinaan hospital itu akan diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Dengan bilangan rakyat bertambah, keperluan untuk rakyat juga bertambah dan saya melihat Melaka memang memerlukan hospital baharu memandangkan hospital utama kita sudah berusia hampir 90 tahun.
“Jadi, selagi diberi mandat, saya akan berusaha untuk Melaka mendapat sebuah hospital baharu dengan fasiliti baharu dan din lokasi yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Dalam pada itu, mengulas mengenai caj baharu tapak parkir di Hospital Melaka, Ab Rauf berkata, caj berkenaan bukanlah diputuskan Kerajaan Negeri, sebaliknya ia ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama pengendali swasta.
Meskipun begitu, beliau mencadangkan agar caj tersebut dikaji semula mengikut kadar tertentu, di mana ia disyor untuk dibahagikan mengikut individu sama ada pesakit, staf hospital dan pelawat.
“Saya mencadangkan ini kerana saya sendiri turun padang mendengar denyut nadi rakyat yang memerlukan perhatian. Jadi, saya berharap kadar-kadar ini dapat dikaji semula mengikut kategori,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


