Sorting by

×

KAMPUNG RELAU PERMATA PELANCONGAN ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ASAHAN 29 April – Kampung Relau, di sini, menjadi antara permata pelancongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan kerana kedudukannya yang terletak di sempadan tiga negeri.

Kampung yang masih dikelilingi kehijauan alam semulajadi itu boleh disifatkan sebagai kampung paling unik di Melaka kerana terletak bersempadan dengan Johor dan Negeri Sembilan.

Tidak hairanlah kawasan itu dibangunkan sebuah tarikan yang dinamakan Laman 3 Budaya, di mana orang ramai boleh bergambar di satu arca batu melambangkan sempadan di antara tiga buah negeri itu.

Menariknya, kawasan itu juga telah dibangunkan dengan pelbagai tarikan antaranya tapak perkhemahan dan taman tema air, selain memiliki pemandangan indah Gunung Ledang di sepanjang perjalanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Relau Kamarudin Md Aris berkata, bagi mereka yang ingin beriadah dan mandi-manda di air terjun, Kampung Relau juga menjadi antara laluan utama.

“Kebiasaannya orang ramai akan melalui Kampung Relau untuk mandi-mandi di Air Terjun Asahan yang terletak di bawah Johor. Antara air terjun popular di kawasan ini dinamakan ‘Ampung Jatuh’, di mana ia sering menjadi pilihan kaki ‘hiking’,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pelancongan
BATU sempadan Melaka-Johor yang ada di Kampung Relau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya lagi, Kampung Relau juga menjadi tumpuan peminat sejarah dan kartografi kerana di kawasan itu terdapat sebuah batu sempadan Melaka dan Johor.

“Istimewanya batu sempadan ini terletak hanya di tepi jalan utama dan mudah diakses oleh orang ramai. Ia berbeza dengan batu sempadan di antara negeri lain yang kebiasaannya terletak di kawasan terpencil.

“Namun, saya berharap, terdapat usaha daripada pihak tertentu untuk mencantikkan batu sempadan ini yang kian uzur dan dikelilingi semak samun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

225
Kongsi :
Previous post MELAKA LAKSANA 636 AUDIT KUALITI PERKHIDMATAN JALUR LEBAR
Next post AB RAUF MAHU DAPATKAN HOSPITAL BAHARU DI MELAKA