Juruteknik komputer sekolah dan suami ditahan miliki dadah

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MASJID TANAH 12 Jun – Wanita yang juga juruteknik komputer sebuah sekolah rendah di sini dan suaminya diberkas polis selepas menjumpai dadah di rumahnya di sini Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, tangkapan dibuat sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah jam 3.05 petang kelmarin.

Menurutnya, ketika serbuan hanya juruteknik wanita berusia 31 tahun itu berada di rumah teres setingkat berkenaan yang turut turut dijadikan bengkel motosikal.

“Pemeriksaan di lantai garaj rumah kemudian menemukan satu beg berzip yang di dalamnya mengandungi sembilan peket plastik lutsinar dan dua tiub straw disyaki heroin seberat 56.19 gram dianggarkan bernilai RM2,800.

“Turut ditemukan di hadapan ibu seorang anak itu adalah lima biji pil dadah jenis eramin 5 anggaran nilai RM75,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid

Susulan itu, katanya wanita itu yang telah berkhidmat selama 11 tahun di sekolah berkenaan dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, suaminya berusia 35 tahun yang juga mekanik motosikal ditahan selepas datang untuk bertemu isterinya pada jam 7 malam.

Menurut Zulkiflee, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau mendapati, suaminya positif dadah jenis morfin manakala isterinya negatif.

“Hasil soal siasat, suspek lelaki mendakwa telah melakukan aktiviti pengedaran dadah di kawasan setempat.

“Kedua-dua mereka direman selama enam hari bermula semalam,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah yang mana membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 12(2) akta sama.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

821
Kongsi :
Previous post Bapa Cheng Hoe meninggal dunia
Next post Harimau Malaya tewas lagi kepada Vietnam
Ubah saiz-+=