Juruteknik maut ketika selenggara lampu limpah di taman tema air popular, JKKP keluar notis

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

IPOH, 14 Dis – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis larangan meneruskan kerja penyelenggaraan di satu bahagian di taman tema air popular di sini selepas seorang juruteknik maut ketika menjalankan kerja menyelenggara lampu limpah berhampiran satu kawasan kolam mandi di situ pada Ahad.

Pengarah JKKP Supian Alias berkata siasatan pihaknya mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira 12.45 tengah hari itu melibatkan lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“JKKP telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut. Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa telah bekerja selama empat tahun sebagai seorang juruteknik di taman teman air tersebut.

“Semasa kejadian mangsa sedang menjalankan kerja menyelenggara lampu limpah berhampiran salah satu kawasan kolam mandi di taman tema air tersebut yang sering tidak berfungsi. Mangsa ditemui terjatuh ke dalam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 1.48 tengah hari pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan dari siasatan awal yang dijalankan, JKKP telah mengeluarkan arahan ‘larangan kacau ganggu’ sehingga tindakan penambahbaikan diambil majikan dan satu notis larangan meneruskan penyelenggaraan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan peralatan elektrik.

JKKP, katanya, akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

Beliau berkata kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post Kerajaan diminta tidak benarkan pengeluaran i-Citra, fokus insentif lain – persatuan pekerja
Next post Kesal, dukacita kejadian buli di sekolah – Tengku Hassanal
Ubah saiz-+=