Kadar zakat fitrah di Melaka kekal RM7 dan RM14

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 8 Apr. – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan kadar zakat fitrah di negeri ini kekal seperti pada tahun lalu.

Mufti Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, zakat fitrah yang ditetapkan RM7 dan RM14 boleh mula dibayar bermula 1 Ramadan.

“Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan kadar zakat kekal sama seperti tahun lalu dan boleh dibayar di mana-mana kaunter pembayaran zakat yang telah dilantik di seluruh negeri ini.

“Kita juga telah melantik seramai 1,500 amil iaitu golongan pemungut zakat di Melaka yang terdiri daripada imam dan pegawai kakitangan di seluruh masjid bagi memudahkan umat Islam membayarnya di kariah masing-masing.

“Malah, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga turut menyediakan platform di atas talian menerusi aplikasi yang akan disediakan bagi memudahkan orang ramai membayar zakat dengan lebih mudah terutama golongan yang kesuntukan masa disebabkan urusan bekerja,ibu tunggal serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku COVID-19 Melanda Negara dan Dunia diadakan di Hotel Muzaffar di sini, hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam itu turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, pembayaran zakat fitrah atas talian di negeri ini menerima sambutan hebat tahun lalu dengan lebih 125,000 individu menggunakan platfrom itu.

Katanya, menunjukkan sambutan atas talian lebih memudahkan umat Islam di negeri ini disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda ketika tempoh itu.

“Platform di atas talian ini memudahkan umat Islam di Melaka lebih-lebih lagi dalam tempoh pasca penularan wabak itu dan kita harap sambutan sama juga dapat diterima pada tahun ini,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post Malaysia sumbang 50,000 vaksin kepada Bosnia dan Herzegovina
Next post 8,000 buku COVID-19 Melanda Negara dan Dunia diagihkan
Ubah saiz-+=