Malaysia sumbang 50,000 vaksin kepada Bosnia dan Herzegovina

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

REMBIA 8 April. – Malaysia menghulurkan 50,000 dos vaksin COVID-19 kepada Bosnia dan Herzegovina selepas negara itu merayu untuk mendapatkannya.

Negara memberikan sumbangan itu atas faktor perikemanusiaan dan hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof bagaimanapun menegaskan, ia tidak menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana negara memiliki bekalan vaksin mencukupi untuk kegunaan domestik.

Katanya, perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam dan Kementerian Luar akan mengambil tindakan selanjutnya bagi merealisasikan sumbangan itu.

MOHD Redzuan memberi taklimat isu semasa Pengurusan COVID-19 dan Proklamasi Darurat di Alor Gajah.

“Ada negara dapat (vaksin) dan ada negara tidak dapat dan negara itu merayu kepada kita supaya memberikan sumbangan untuk membantunya.

“Kita beri kerana kita mengimbangi antara nyawa dengan kehidupan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat isu semasa Pengurusan COVID-19 dan Proklamasi Darurat anjuran Jabatan Penerangan, di Dewan Bandaran, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Mohd Rizal Hashim.

Mohd Redzuan berkata, selain Bosnia dan Herzegovina, Malaysia turut menerima permintaan dari negara Eropah Timur lain yang sukar mendapatkan bekalan vaksin.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan mengenai jenis vaksin yang bakal disumbangkan itu.

Mohd Redzuan juga berkata, ada cadangan supaya siling pinjaman luar negara dinaikkan kepada RM45 bilion berbanding siling semasa RM35 bilion.

“Kalau perlu kita meminjam dari luar negara, kita cadangkan siling itu dinaikkan kepada RM45 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan kenaikan siling itu masih tidak melebihi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar yang dibenarkan untuk membuat pinjaman seumpama itu, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

988
Kongsi :
Previous post Burung botak siput bebas penyakit
Next post Kadar zakat fitrah di Melaka kekal RM7 dan RM14
Ubah saiz-+=