Kaedah baharu penganjuran bazar Ramadan, Aidilfitri tahun depan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 20 April – Kerajaan Negeri akan merangka kaedah baharu penganjuran bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di negeri ini tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia bagi memastikan banyak pihak mendapat manfaat dalam menjana pendapatan masing-masing.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha mengadakan bazar Ramadan dan Aidilfitri demi menyemarakkan lagi kegiatan ekonomi peniaga tempatan sekali gus meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi Melaka.

“Insya-Allah tahun depan kita ada format baharu dalam kaedah menjalankan bazar Ramadan dan Aidilfitri supaya ia lebih menarik kepada peniaga supaya dapat mencari rezeki sepanjang bulan Ramadan.

“Hasil daripada penganjuran yang berjaya itu juga dipanjangkan atau disalurkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Glam Ramadan Bazar Klebang di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pihaknya juga akan mengambil kira pandangan penduduk setempat dan peniaga kedai supaya tiada permasalahan timbul sepanjang penganjuran berkenaan.

“Seperti contoh Glam Ramadan Bazar Klebang yang mahu setiap tahun dijadikan kawasan ini sebagai tapak bazar tetapi pihak kita akan menilai semula perkara itu memandangkan ada rungutan daripada peniaga (kedai) di kawasan itu.

“Sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak, kawasan ini akan teruskan menjadi tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.

“Walau bagaimanapun kita menunggu maklum balas hasil daripada penyusunan bazar itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur Glam Ramadan Bazar Klebang, Abdul Rashid Omar berkata pihaknya berdepan masalah sebelum menganjurkan bazar terbabit namun pihaknya sudah menyelesaikan dengan peniaga dan persatuan penduduk sekitar.

“Alhamdulillah kita turut menjalin kerjasama dengan mereka untuk turut serta bersama kita meningkatkan hasil pendapatan sepanjang Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1362
Kongsi :
Previous post HEPA UTeM anjur 15 program berimpak sepanjang Ramadan
Next post Melaka tangguh selenggara jalan sempena Aidilfitri
Ubah saiz-+=