Melaka tangguh selenggara jalan sempena Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 20 April – Kerja-kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri ini ditangguh sementara bagi memastikan tiada kesesakan trafik mengganggu pengguna jalan raya di sepanjang Aidilfitri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk menghentikan sementara setiap projek pengorekan mahupun selenggara jalan bermula 18 April lalu sehingga 27 April ini.

“Demi memudahkan dan melancarkan trafik di jalan raya menjelang Aidilfitri ini kita telah mengarahkan kesemua kerja-kerja penyelenggaraan termasuk kerja-kerja terancang di Melaka ditangguhkan.

“Rentetan itu kesemua jentera berat dan fasiliti penyelenggaraan diarah untuk dikosongkan di sepanjang jalan atau lokasi projek bagi melancarkan perjalanan trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Coffee Break diadakan di sebuah stesen minyak di Lebuh Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Zahari Khalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd., Abdul Latif Hitam.

Pada program selama dua hari itu, lebih 300 minuman dan makanan percuma telah diagihkan bagi menyahut kempen menggalakkan pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman untuk berehat sebentar bagi menyambut Aidilfitri.

Hameed berkata, pihaknya menyambut baik program tersebut dalam membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang berpunca daripada masalah keletihan atau simptom ‘microsleep’ yang dihadapi pengguna jalan raya.

“Kita dapati lebuh ini merupakan laluan utama bagi anak perantauan yang pulang ke kampung dari pelbagai ceruk di seluruh negara demi menyambut Aidilfitri.

“Perjalanan yang panjang membuatkan mereka keletihan, jadi mereka perlu mengambil langkah untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

“Kita menyambut baik program yang dianjurkan syarikat ini bagi membantu mengurangkan kadar musibah yang berlaku di jalan raya di sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

885
Kongsi :
Previous post Kaedah baharu penganjuran bazar Ramadan, Aidilfitri tahun depan – KM
Next post Kepulangan dari ‘tirai besi’
Ubah saiz-+=