HEPA UTeM anjur 15 program berimpak sepanjang Ramadan

Masa Membaca:2 Minit, 55 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 April – Sepanjang Ramadan ini, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan 15 program berimpak tinggi khususnya untuk pelajar.

Ia melibatkan seramai 9,477 pelajar dengan nilai sumbangan lebih suku juta ringgit atau sebanyak RM388,273.

Penganjuran program-program itu berkonsepkan kepada menjaga kebajikan, membentuk kemahiran kepimpinan, penglibatan Alumni bersama universiti dan program-program menghidupkan Ramadan seperti iftar, moreh, tadarus dan sebagainya.

Penganjuran program-program itu adalah inisiatif Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEPA) yang turut mendapat kerjasama yang hebat daripada agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta terlibat membantu pelajar khususnya yang kurang berkemampuan dari golongan B40.

IMG-20230419-WA0034
HEPA UTeM menganjurkan 15 program berimpak sepanjang Ramadan tahun ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, program-program yang diatur oleh pihak TNC (HEPA) UTeM itu sangat relevan dan bermanfaat terutama dalam bulan Ramadan bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di bawah garis kemiskinan.

“Lebih menarik tahun ini hampir kesemua kafeteria di UTeM telah bergabung untuk berkongsi rezeki untuk menyediakan juadah berbuka kepada hampir 2000 pelajar termasuk pelajar yang bukan beragama islam.

“Selain itu, penganjuran program-program yang berimpak seperti ini bukan sahaja membantu dari segi kos sara hidup para pelajar di kampus terutama di bulan Ramadan tetapi turut memberi impak dalam memperkayakan sahsiah pelajar terutama memantapkan jati diri pelajar dalam aspek-aspek kemahiran kepimpinan, kemahiran berfikir, pengurusan dan banyak lagi.

“Tanpa sokongan dan dokongan pihak-pihak ini tidak mungkin program-program yang dianjurkan ini akan mencapai objektif program seperti yang telah disasarkan,” katanya.

IMG-20230419-WA0035
PROGRAM komuniti anjuran HEPA UTeM bersama McDonalds.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, antara program berimpak dianjurkan ialah seperti Inspirasi Qaseh Ramadan & Raya YaPEIM melibatkan 650 pelajar, Program Kepimpinan Altruistik, Serahan Sumbangan Pelajar B40 dan Berbuka Puasa anjuran bersama dengan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) melibatkan 500 pelajar.

Selain itu, program lain yang dianjurkan ialah Bual Bicara Membina Generasi Pemimpin dan Usahawan Wanita: Strategi untuk Kemajuan dan Kejayaan anjuran bersama Women Leadership Foundation melibatkan 400 pelajar; Sumbangan ‘Travelling Bag’ oleh Mydin MITC yang akan bermanfaat kepada 900 pelajar; Program Komuniti Moreh anjuran bersama Alumni UTeM (AUTeM) dan Mcdonalds melibatkan 600 pelajar dan Majlis Iftar Bersama Tun Canselor yang dianjurkan secara bersama oleh Yayasan Bank Rakyat dan Malik Stream Corporation yang melibatkan 600 pelajar.

Menurutnya lagi, tiada istilah untuk ‘tidak produktif’ atau mengurangkan penganjuran program-program di bulan Ramadan malahan ia diperhebatkan secara rancak program-program berimpak yang melibatkan hampir keseluruhan penyertaan pelajar di UTeM.

IMG-20230419-WA0039
PROGRAM agihan bubur lambuk yang diadakan.

Selain itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang memainkan peranan besar terutama pemberian sumbangan yang besar dalam membantu pihak HEPA bagi menjayakan kesemua program yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

“Keberhasilan daripada penganjuran program-program berimpak ini akan menghasilkan impak positif dalam memperkasakan mahasiswa UTeM sebagaimana yang telah dihasratkan oleh Menteri Pengajian Tinggi.

“Secara lazimnya, pihak TNC (HEPA) UTeM sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan dan kebaikan pelajar terutamanya dalam membangunkan personaliti unggul pelajar.

“Melalui penganjuran-penganjuran program berimpak yang dilaksanakan sepanjang Ramadan ini, secara tidak langsung dapat menggembleng penglibatan mahasiswa dan mahasiswi dalam membangunkan potensi diri dan bakat masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5592
Kongsi :
Previous post Solat sunat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka amat digalakkan
Next post Kaedah baharu penganjuran bazar Ramadan, Aidilfitri tahun depan – KM
Ubah saiz-+=