Sorting by

×

KAK INA TEKAD TERUS BERBAKTI UNTUK ORANG PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hasim, berharap gelaran Datuk diterimanya akan merapatkan lagi hubungan antara beliau dan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Katanya, panggilan Datuk bukan untuk bermegah sebaliknya menjadi pembakar semangat dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat kerana gelaran itu datang beserta tanggungjawab dan tugas yang semakin berat.

Mesra disapa Kak Ina, Tuminah berkata, bergelar Datuk atau tidak tugas menjaga kebajikan rakyat DUN Pantai Kundor tetap menjadi perkara nombor satu baginya.

“Alhamdulillah syukur, saya berterima kasih kepada kepimpinan negeri, penghargaan ini bukan sekadar satu anugerah, tetapi ia menjadi semangat dan iltizam untuk saya terus bekerja dengan lebih keras demi meningkatkan ekonomi negeri serta menjaga kebajikan rakyat DUN Pantai Kundor,” katanya.

Tuminah antara 51 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk, pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri turut menzahirkan ucapan tahniah serta doa sempena ulang tahun ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

“Semoga Tun Dr. Mohd Ali terus diberikan kesihatan yang baik dan Negeri Melaka kekal makmur serta aman di bawah naungan kepimpinan beliau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1186
Kongsi :
Previous post ‘PEGANG IKRAR JAGA KESELAMATAN MASYARAKAT’