Kampus ‘terapung’ MS Porrima berlabuh di Melaka hujung bulan ini

LETTERS: Jika semua perancangan berjalan lancar Melaka akan menjadi tuan rumah dan persinggahan kapal penyelidikan perubahan iklim, MS Porrima penghujung bulan ini.

MS Porrima kini sedang dalam pelayaran ke Expo Dubai 2020 selepas singgah di Expo Tokyo.

Kapal ini amat unik kerana dijana tenaga solar dan membawa teknologi peralatan saintifik yang memanfaatkan tenaga daripada matahari, angin serta air bagi tujuan perindustrian.

Kejayaan itu direalisasikan menerusi jalinan kerjasama antara Institut Penyelidikan Pelepasan Sifar berpangkalan di Tokyo dengan usahawan, ahli ekonomi dan pengarang Gunther Pauli yang kini beroperasi dari Switzerland.

Pembabitan Pauli adalah untuk membawa inovasi dalam memacu industri maritim dan lautan selain menyokong kelestarian lautan di seluruh dunia yang sudah menjangkau beberapa tahun.

Pada tahun 2009, beliau menghasilkan buku bertajuk ‘Blue Economy’ yang telah dipersembahkan menerusi Persidangan Kelab Rome 2010.

Pauli dijangka membeli MS Porrima selepas kapal itu melengkapkan pelayarannya ke Dubai dan selesai menjalani proses ‘refit’ di Rabat, Marocco.

Jangkaan setahun kemudian kapal saintifik berteknologi yang turut popular dengan panggilan Kampus Biru (Blue Campus) akan memulakan pelayaran ke Expo Osaka, Jepun menjelang 2025.

MS Porrima yang diasaskan oleh Yayasan Porrima di Switzerland akan memulakan operasinya sebagai Kampus Biru mulai September tahun depan dan berfungsi sebagai kampus terapung dalam kajian sains lautan serta kelestarian lautan.

Pelbagai inisiatif sedang dirancang termasuk program kerjasama projek Osaka, ‘Blue Odyssey’ yang turut menyertai Expo Osaka 2025 dan pelbagai projek di negara-negara ASEAN.

Sementara itu bagi Melaka, pembabitan dalam projek dirancang akan memperkenalkan program latihan kemudahan pengajaran dengan fokus melahirkan graduan Keusahawanan Maritim dan program berkaitan.

Manakala bagi rantau ASEAN, kampus terapung itu mampu melaksanakan program untuk meneroka potensi maritim.

Bagi peringkat antarabangsa pula, kerjasama antara Kampus Biru dengan kerajaan dan agensi berkaitan di seluruh dunia akan menghasilkan pelbagai projek seperti ‘Mapping the Maritime Potential Index of Nations’, ‘Mapping the Maritime Economic Index’ dan ‘Mapping the Oceans Index’.

Bagi Melaka dan rantau ASEAN pula, mengimbau kegemilangan sejarah Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 sebelum kedatangan penjajah Portugis, Belanda dan British antara pelbagai pembangunan dan pendedahan dalam sektor berkenaan yang dirancang.

Kegemilangan itu menjadikan Melaka sebagai pusat pelabuhan utama yang menarik kedatangan pelabur, pedagang China, India dan Arab Saudi selain hubungan diplomatik antara negeri bersejarah itu dengan Dinasti Ming, China serta Empayar Majapahit.

Latar belakang sejarah itu dan hubungan maritim itu adalah kunci kepada jalinan kerjasama antara Melaka dan MS Porrima pada masa hadapan.

Besar harapan kami bahawa kerjasama itu mampu mencetuskan pembangunan industri berkaitan maritim di rantau itu.

Dr Azhari-Karim

Bekas Duta Malaysia

Kuala Lumpur

(Dipetik daripada New Straits Times 17/02/22)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Previous post Pegawai khas ADUN ditipu sindiket pinjaman tidak wujud
Next post ‘Jangan perkecilkan pesara kerajaan’ – Kupekmas