Pegawai khas ADUN ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

SEREMBAN, 17 Feb – Seorang pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini kerugian hampir RM10,000 selepas ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam kejadian di Bahau, Jempol, dekat sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mangsa lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa terlihat iklan pinjaman wang di Instagram sebelum berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan dua ejen dikenali sebagai Tony dan Daniel Heng yang menguruskan pinjaman wang tersebut.

Menurut Hoo, mangsa membuat pinjaman itu kerana dipercayai mengalami masalah kewangan.

“Mangsa kemudiannya diminta membayar sejumlah wang kerana ‘scoring’ akaun banknya tidak layak untuk melakukan pinjaman selain pembayaran itu bertujuan untuk menguruskan akaun bank tersebut serta bayaran cukai bagi meluluskan pinjaman berkenaan.

“Percaya dengan urusan yang dijalankan itu, mangsa telah melakukan bayaran sebanyak enam kali berjumlah RM9,345.92 ke tiga akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo berkata lelaki itu menyedari ditipu selepas ejen tersebut masih meminta tambahan bayaran untuk meluluskan pinjaman dan telah membuat laporan polis semalam.

Dalam kes berasingan, Hoo berkata seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun kerugian RM1,950 selepas ditipu dalam urusan pembelian komputer riba secara dalam talian dan mendakwa masih tidak menerima komputer riba itu selepas membuat dua kali pembayaran pada 3 dan 9 Feb lepas.

Beliau berkata remaja yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Previous post Upah RM200 ambil dan hantar rokok seludup
Next post Kampus ‘terapung’ MS Porrima berlabuh di Melaka hujung bulan ini