Upah RM200 ambil dan hantar rokok seludup

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Feb – Polis merampas lebih 73,000 batang rokok dipercayai diseludup selepas menahan seorang lelaki berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh , di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang dalam Op Kontraban.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya mengekori kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dipandu juruteknik pendawaian itu sebelum ditahan di pintu gerbang Ayer Keroh.

“Hasil pemeriksaan di dalam MPV itu menemukan sebanyak 492 karton bersamaan 73,056 batang rokok tanpa cukai dipercayai rokok seludup.

“Semakan juga mendapati MPV terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesemua rampasan itu bernilai RM70,000,” katanya.

Christopher berkata, siasatan mendapati suspek yang berperanan sebagai ‘transporter’ itu datang dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk mengambil bekalan rokok berkenaan.

“Suspek hanya memandu MPV berkenaan selepas mengambilnya di kawasan parkir di Malim, bekalan rokok sudah dimuatkan ke dalam kenderaan itu, kami percaya aktiviti ini aktif sejak Oktober tahun lalu.

“Dia dikatakan dibayar RM200 untuk setiap penghantaran dan arahan lokasi rokok itu akan dihantar hanya diberitahu selepas suspek melepasi Plaza Tol Sungai Besi,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman sehingga 19 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post Akta baharu larang aktiviti merokok akan diperkenalkan – Khairy
Next post Pegawai khas ADUN ditipu sindiket pinjaman tidak wujud
Ubah saiz-+=