Kasih suami 31 tahun kepada isteri 67 tahun

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

DURIAN TUNGGAL 30 Jun – Biarpun perbezaan umur mereka seperti nenek dan cucu, ia bukanlah halangan pasangan suami isteri ini mengikat kasih ‘tiga generasi’ sejak tujuh tahun lalu.

Itu dibuktikan Zarul Fahmi Masiran, 31 dan isterinya Jamilah Kassim, 67, yang mula berkenalan pada 2012 sebelum mengambil keputusan bernikah pada 25 Februari 2014.

Ketika itu, Zarul berasal dari Perak dan masih bujang berusia 24 tahun manakala Jamilah, dari Durian Tunggal sudah mempunyai 10 anak bersama bekas suami sebelum bercerai pada 2012.

Menceritakan permulaan perkenalan mereka, Jamilah yang kini mempunyai 22 cucu daripada lima anaknya setelah lima lagi anak meninggal dunia berkata, dia sendiri tidak menyangka akan bersuamikan Zarul yang dipanggilnya ‘Abang’.

“Perkenalan kami bermula pada 2012 setelah Zarul tersalah membuat panggilan telefon dan kebetulan pada waktu itu saya baharu sahaja bercerai dengan suami yang 13 tahun lebih tua dari saya.

“Sejak itu, hubungan kami bertambah akrab malah Zarul memanggil saya ‘Ayang’ walaupun sudah tahu jarak umur masing-masing.

“Dipendekkan cerita satu hari pada Disember 2012, kami bergaduh besar dan saya minta putus hubungan membuatkan Zarul sanggup menaiki bas ke Melaka semata-mata mahu menunjukkan kesungguhan cintanya kepada saya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurut Jamilah, setelah itu dia menerima Zarul seperti biasa sehinggalah hampir setahun berlalu, Zarul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meluahkan lagi kesungguhanya memperisterikannya.

“Mungkin sudah jodoh agaknya walaupun pelbagai rintangan terpaksa dihadapi, kami akhirya bernikah di Pejabat Agama di Alor Gajah pada 25 Februari 2014.

“Sebelum bernikah, saya sudah jelaskan kepada suami, tidak mampu memberinya anak malah hanya mampu menjaga makan dan pakainya sahaja dan bukanlah seperti isteri lain yang sebaya dengannya,” katanya.

Sementara itu Zarul berkata, dia tidak mampu menolak jodoh dan akan menyayangi Jamilah sepenuh hati sehingga ke akhir hayat meskipun tidak mempunyai anak dengan isterinya itu.

“Cukuplah asalkan kami dapat hidup bersama malah anak-anak isteri juga melayan saya dengan baik. Tentang anak itu, saya akan cuba membuat permohonan anak angkat,” katanya.

AKTIVIS masyarakat, Shikh Muhammad Makhdad Harun (kanan) menyampaikan sumbangan mesin rumput kepada Zarul dan Jamilah di rumah mereka di Durian Tunggal hari ini.

Terdahulu, Zarul dan Jamilah menerima kunjungan aktivis masyarakat, Shikh Muhammad Makhdad Harun yang menyampaikan bantuan mesin rumput kepada Zarul untuk menjana pendapatan yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0).

“Saya tertarik untuk membantu Zarul dan isterinya kerana tersentuh melihat keikhlasan kasih sayang ‘tiga generasi’ ini dalam menempuhi waktu sukar akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

“Diharapkan, bantuan mesin rumput ini sedikit sebanyak mampu membantu mereka menambah pendapatan Zarul RM1,200 sebulan yang bekerja kilang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Parlimen kemuka cadangan adakan sidang khas sebelum 1 Ogos
Next post VSN 2030: Nafas baharu pembangunan sukan Melaka
Ubah saiz-+=