VSN 2030: Nafas baharu pembangunan sukan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Melaka menjadi negeri keempat selepas Kelantan, Kuala Lumpur dan Perlis menganjurkan sesi libat urus Kanvas Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) secara maya, pada hari ini.

Kanvas VSN 2030 merupakan satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) untuk mendengar dan mengumpul aspirasi serta harapan rakyat Malaysia terhadap pemerkasaan sebuah industri sukan yang progresif dan mampan, selain memeta hala tuju pembangunan sukan negara yang baharu secara lebih kolektif.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia Dan Sukan Negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, memandangkan VSN 2030 menjadi sebagai satu agenda nasional yang baharu, Melaka turut tidak ketinggalan dalam menyahut seruan tersebut bagi memajukan sukan negeri khususnya dan negara amnya.

Beliau berkata, VSN 2030 yang telah dilancarkan 7 April lalu merupakan kesinambungan daripada Dasar Sukan Negara 2009 yang akan memberi nafas baru kepada pembangunan sukan selaras dengan perkembangan semasa sektor sukan tempatan dan global.

“Program ini adalah hasrat dan cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sendiri untuk melihat agenda pembangunan sukan negara dapat mendukung aspirasi dan prinsip dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Ia juga akan menjadikan permulaan pendemokrasian sukan dengan konsep keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada Oktober depan,” katanya dalam sidang media mengenai sesi libat urus Kanvas VSN 2030 di pejabatnya, di sini, hari ini.

Mohd Rafiq berkata, sesi libat yang dianjurkan selama setengah hari itu telah disertai seramai 200 peserta yang terdiri darupada pelbagai pemegang taruh dalam bidang sukan.

Ia termasuklah agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan sukan, penggiat industri sukan, pengusaha-pengusaha sukan, para jurulatih, atlet dan juga bekas atlet yang berada di Melaka.

“Semoga dokumentasi VSN 2030 yang diusahakan ini mencapai objektif menjadi harapan dan aspirasi rakyat Malaysia.

“Idea, aspirasi dan harapan yang dikemukakan diharap dapat memastikan dokumen VSN 2030 akan kekal relevan bagi tempoh 10 tahun akan datang sebagai panduan dan rujukan utama,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kanvas VSN 2030 bakal menumpukan terhadap enam bidang utama iaitu pembudayaan sukan, pembangunan bakat, kegemilangan sukan, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan profesionalisme sukan dalam meningkatkan kualiti dan pencapaian sukan di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post Kasih suami 31 tahun kepada isteri 67 tahun
Next post Mohd Rashid mohon maaf video tular kenduri durian, serah siasatan kepada polis
Ubah saiz-+=