Mohd Rashid mohon maaf video tular kenduri durian, serah siasatan kepada polis

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BATU PAHAT 30 Jun – Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon hari ini mengakui beliau hadir ‘kenduri durian’ di sebuah dusun di daerah ini, baru-baru ini.

Sehubungan itu beliau turut memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul berhubung video kehadiran beliau di program itu.

Katanya, ia berlaku apabila terdapat media yang menghubunginya bagi bertanyakan video itu dan beliau menjawab tanpa menonton sendiri rakaman itu.

TANGKAP layar video tular. Foto -malaysiadateline.com

“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya.

“Untuk makluman, sememangnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sehingga kini, saya sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot.

“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini.

“Kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja YBM Zuraidah Kamaruddin ke Batu Pahat. Oleh itu, kami menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rashid, beliau kemudiannya dibawa ke kebun oleh seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

“Setibanya di kebun, pengusaha kebun durian itu menghidangkannya kepada kami. Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan.

“Saya memohon maaf atas kekhilafan ini dan menyerahkan siasatan lanjut dan berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak PDRM,” katanya menambah beliau terus meninggalkan program awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.

Semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilapor berkata, pihaknya akan memanggil Mohd. Rashid dan mereka yang terbabit untuk membantu siasatan mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya IPD Batu Pahat mengesan satu rakaman video tular di laman sosial memaparkan wakil rakyat itu sedang menikmati durian di sebuah kebun di daerah itu.

“Satu laporan polis sudah dibuat dan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat kejadian yang berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post VSN 2030: Nafas baharu pembangunan sukan Melaka
Next post PEMULIH: Terima kasih PM prihatin nasib pengusaha pusat sukan
Ubah saiz-+=