PEMULIH: Terima kasih PM prihatin nasib pengusaha pusat sukan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 30 Jun – Kerajaan negeri berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan keprihatinan terhadap pengusaha pusat sukan di seluruh negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ia susulan pemberian bantuan sekali bayar RM3,000 kepada pengusaha industri sukan, termasuk gimnasium, boling dan futsal menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pemberian itu nyata melegakan bukan sahaja pengusaha sukan di negeri ini bahkan di seluruh negara apabila tidak dapat beroperasi sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’.

“Saya fikir kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri amat prihatin dengan nasib mereka yang terlibat secara langsung sebagai pengusaha sukan di negara kita.

“Sebab itulah dalam pakej PEMULIH sejumlah RM3,000 diberikan secara one-off kepada semua pengusaha sukan bagi meringankan beban ketika pelaksanaan ‘total lockdown’.

“Walaupun jumlah itu tidaklah begitu besar, namun saya fikir sedikit sebanyak inisiatif itu dapat memberikan kelegaan kepada pengusaha sukan di negara kita khususnya di negeri Melaka,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq turut memahami rungutan atlet negeri ini yang sehingga kini masih tidak dapat menjalani latihan secara intensif bagi persiapan untuk menghadapi kejohanan akan datang.

Namun, beliau meminta semua atlet akur dengan arahan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Selagi kes tidak turun di bawah 4,000 selagi itulah penganjuran kejohanan dan sesi latihan berskala besar serta komprehensif agak terbatas.

“Jadi, kita perlu akur memandangkan faktor kesihatan perlulah menjadi keutamaan pada masa kini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post Mohd Rashid mohon maaf video tular kenduri durian, serah siasatan kepada polis
Next post 2,000 peniaga termasuk ‘Uptown’ di Banda Hilir hampir lingkup
Ubah saiz-+=