Kaum Cina Tanjung Bidara tidak terpinggir

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Februari – Keceriaan jelas terpancar di raut wajah 120 masyarakat Tionghoa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara apabila menerima sumbangan sempena Tahun Baru Cina.

Sumbangan berupa angpau dan limau mandarin telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.

Salah seorang penerima Lim Jun Chin, 67, menyifatkan sumbangan itu sebagai hadiah cukup bermakna untuk kaum Tionghoa Tanjung Bidara yang kurang berkemampuan.

“Terima kasih Ketua Menteri kerana memberi sumbangan angpau sempena Tahun Baru Cina ini. Sedikit sebanyak sumbangan ini dapat membantu kami membuat persiapan menjelang perayaan yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada gembira turut disuarakan seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Kew, 71.

Kew yang juga anak jati Pengkalan Balak gembira kerana Kerajaan Negeri tidak pernah lupa menghulurkan sumbangan kepada semua kaum setiap kali musim perayaan.

“Dengan sumbangan ini saya dapat membuat persiapan dan membeli keperluan pada Tahun Baru Cina nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian MCA Masjid Tanah Datuk Lee Tian Sing berkata, sumbangan itu diberikan kepada warga emas dan keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau menyifatkan sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban dan mengukir senyuman kepada masyarakat Tionghoa.

“Ini menunjukkan bahawa Ketua Menteri merupakan seorang pemimpin yang prihatin kepada masyarakat berbilang kaum di Negeri Melaka dan tidak meminggirkan kaum Cina.

“Saya mewakili masyarakat Cina mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri di atas sumbangan ini dan semoga pentadbiran Negeri Melaka lebih maju di bawah pentadbiran beliau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

555
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal anak lima terima hadiah terindah
Next post Asahan jadi ‘port healing’
Ubah saiz-+=