Kekurangan telur hanya babitkan gred A, B dan C

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 16 Disember – Kekurangan bekalan telur ayam di Negeri Melaka hanya membabitkan gred A, B dan C yang dikawal harga jualannya di pasaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka Norena Jaafar berkata, bekalan telur gred AA, D, E, F dan premium tidak terjejas serta masih boleh didapati dengan mudah di pasaran.

“Diakui memang berlaku kekurangan bekalan telur dipasaran seperti yang di uar-uarkan terutamanya di peringkat runcit. Bekalan di pasaran dibahagikan kepada tiga iaitu pertama kategori telur ayam yang dikawal harga jualan seperti gred A, B dan C.

“Kategori kedua telur ayam yang tidak dikawal harga jualan seperti gred AA, D, E dan F. Manakala kategori ketiga adalah telur premium seperti telur ayam Omega dan Selenium,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Norena berkata 100 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDN melakukan pemeriksaan di semua peringkat premis perniagaan pada setiap hari.

Menurutnya hasil pemeriksaan mendapati kekurangan bekalan telur ayam melibatkan hanya kategori pertama iaitu telur ayam yang dikawal harga jualan di pasaran.

“Justeru KPDN Melaka mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang dan kawalan harga yang ditetapkan kerajaan.

“Pegawai penguat kuasa KPDN sentiasa bersedia dan melaksanakan pemantauan bagi memastikan tidak berlaku situasi putus bekalan barangan keperluan pengguna atau pelanggaran undang-undang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik berikutan bekalan barangan keperluan di negeri ini masih ada di pasaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2446
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh: 51 dewasa, 30 kanak-kanak berdaftar di tapak perkhemahan malam tadi
Next post Tanah runtuh: Tiada rekahan jalan di kawasan terlibat
Ubah saiz-+=