Sorting by

×

Kelab AMR bantu abang beca

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 29 Ogos- Seramai 210 pengayuh beca di Melaka menerima bantuan kit makanan daripada Kelab Anak Muda Relawan (AMR) menerusi Koperasi Abang Beca Melaka dalam Program Bantu Beca Melaka, semalam.

Timbalan Pengerusi Kelab AMR, Nurul Farhanah Saffinye berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban pengayuh beca di Melaka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, idea itu tercetus hasil aktiviti kelab berkenaan menyantuni gelandangan di sekitar bandar Melaka pada setiap minggu.

NURUL FARHANAH.

“Ada antara golongan miskin kota ini yang jadi gelandangan dan merupakan pengayuh beca yang terjejas, jadi dari situ tercetusnya idea untuk melakukan program ini.

“Ikutkan seramai lebih 300 pengayuh beca di negeri ini, namun kami hanya fokus kepada 210 orang sahaja, dan pemilihan penerima adalah menerusi Koperasi Abang Beca Melaka bersama Kelab AMR.

“Selain itu, kami juga telah membuat penyerahan di beberapa rumah pengayuh beca di sepanjang minggu ini, yang mana selain memberi kit makanan, kita turut kenal pasti jika ada ahli keluarga pengayuh terbabit yang memerlukan lampin pakai buang, susu dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya Kelab AMR awalnya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM5,000 sahaja, namun terdapat beberapa pihak sudi menaja program bantuan itu sehingga berjaya mengumpul dana sebanyak RM10,204.

“Kami hanya promosikan poster Bantu Beca Melaka di laman media sosial kelab dan tak sangka ramai yang sudi membantu, termasuk usahawan Minaz kosmetik, Adabi, Lotus dan artis tempatan,”katanya ketika ditemui dalam Program Bantu Abang Beca.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Abang Beca Melaka, Azman Dollah.

Nurul Farhanah berkata, usaha seumpama itu akan diteruskan pada masa depan sejajar matlamat kelab untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam setiap lapisan masyakarat selain membantu pembangunan komuniti terbabit dalam pelbagai aspek.

Ujarnya, selepas ini masyarakat Orang Asli di sekitar Melaka antara komuniti tumpuan kelabnya untuk menyalurkan bantuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

654
Kongsi :
Previous post Peniaga khuatir penularan mudah berlaku jika ‘dine-in’
Next post 7 lokasi riadah, ‘hiking’ di Melaka ditutup kepada orang awam
Ubah saiz-+=