7 lokasi riadah, ‘hiking’ di Melaka ditutup kepada orang awam

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Semua Taman Eko  Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) milik Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM) ditutup kepada orang awam bermula 20 Ogos lalu hingga tarikh akan dimaklumkan kelak.

Penutupan itu menyaksikan segala aktiviti riadah dan ‘hiking’ atau mendaki bukit di trek pendakian di negeri ini tidak dibenarkan sama sekali.

JPNM dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan itu dilakukan berikutan aktiviti eko-pelancongan antara aktiviti tidak dibenarkan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kenyataan itu memaklumkan, antara kawasan ditutup kepada orang awam ialah TER Tanjung Tuan, TER Rimba Hutan Paya Laut Linggi dan TER (Hutan Rekreasi) Sungai udang di daerah Alor Gajah.

Selain itu, turut ditutup ialah Trek Pendakian Hutan Simpan Bukit Beruang di daerah Melaka Tengah dan tiga kawasan di Jasin iaitu TER Bukit Batu Lebah, HTN Bukit Sedanan dan Trek Pendakian Bukit Gapis (Gunung Melaka).

“Adalah dimaklumkan selaras dengan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melaka bagi membendung penularan wabak COVID-19, semua aktiviti di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri serta trek pendakian di mana-mana Hutan Simpanan Kekal milik Jabatan Perhutanan Negeri Melaka adalah ditutup kepada pengunjung awam mulai 20 Ogos sehingga dimaklumkan kelak.

“Hal ini disebabkan aktiviti eko-pelancongan merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Negeri Melaka masih di dalam PPN Fasa 1.

“Sehingga kini tiada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti eko-pelancongan yang dikeluarkan oeh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 1.

“Maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri Melaka,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1993
Kongsi :
Previous post Kelab AMR bantu abang beca
Next post PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Lajim Ukin
Ubah saiz-+=