Kena peka, mahir untuk bantu rakyat – Penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Penjawat awam di negeri ini sentiasa komited dan bersiap sedia dalam apa jua keadaan untuk memudahkan urusan kerajaan dan rakyat.

Demi memastikan perkara itu dicapai, Ketua Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Shamsudin Sharif berkata beliau sebagai ketua jabatan beliau perlu memastikan prestasi perkhidmatan kakitangan awam dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, meskipun ada kalangan penjawat awam yang bekerja dari rumah (BDR), namun setiap penjawat awam di bawah kendaliannya perlu bersedia setiap masa mendepani arahan apabila diarahkan.

“Penjawat awam mempunyai mekanisme tertentu bagi kakitangan yang BDR, antaranya termasuk menggunakan medium komunikasi yang ada seperti ‘Google Meet’, aplikasi Whatsapp mahupun ‘zoom meeting’.

“Saya akan pastikan mereka ini mendaftar masuk dan keluar menerusi atas talian mengikut waktu operasi bekerja supaya semua kakitangan saya memenuhi keperluan perkhidmatan awam sebagaimana dinyatakan Ketua Menteri,” katanya.

SHAMSUDIN Sharif. Foto: MR. Azli

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan taklimat menerusi Majlis Amanat Penjawat Awam Julai 2021 itu disiarkan secara dalam talian melalui Facebook (FB) rasmi Sulaiman Md Ali, Kerajaan Negeri Melaka dan Melaka Hari Ini di Auditorium Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, Sulaiman dalam amanatnya turut meminta semua penjawat awam memainkan peranan dengan menghebah serta menyebarkan segala tindakan yang telah dilaksanakan dalam usaha menghentikan penularan wabak di negeri ini.

Bagi Pegawai ICT, Mohd Mohairi Mahmud, berkata bagi memudahkan urusan rakyat, dia sebagai penjawat awam bertanggungjawab untuk memaklumkan saluran yang betul untuk keselesaan rakyat.

“Mana-mana perkara yang viral yang tidak betul, saya sendiri akan berkongsi berita yang sahih daripada maklumat yang betul daripada jabatan atau agensi kerajaan,” katanya.

Pengawal Keselamatan MAIM Bentara, Ramlah Md Din mendengar ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada Amanat Penjawat Awam Julai 2021 secara maya di Auditorium, Seri Negeri, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Pegawai Khidmat Pelanggan, Nor Afizah Jamil pula berkata, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan digital supaya membantu untuk mempercepatkan urusan orang ramai.

“Kalau dulu, jika hendak selesaikan satu perkara, kita perlu masuk ke pejabat sebab perlu mencetak dokumen dan sebagainya, tetapi sekarang kita perlu mahirkan diri dengan aplikasi digital.

“Penjawat awam perlu cabar diri dua langkah ke hadapan dalam apa jua situasi supaya kita dapat mempertingkatkan dan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post Komplikasi jantung punca kematian guru Matematik
Next post AEON Bandaraya Melaka ditutup sekali lagi
Ubah saiz-+=