Komplikasi jantung punca kematian guru Matematik

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

LENDU 16 Julai – Hasil laporan bedah siasat ke atas mayat guru lelaki, Allahyarham Noazha Baba, 57, mengesahkan arwah meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu yang turut meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi negatif berhubung punca kematian guru berkenaan.

Sementara itu, beberapa rakan arwah memuji sifat ramah arwah ketika mencurah bakti mendidik anak bangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba (SMKGB), di sini sejak kira-kira 15 tahun lalu.

Berdasarkan hantaran Nor Zarita Mat Salleh dalam Facebooknya, arwah amat disayangi pelajar, terutama yang mengikuti subjek Matematik diajar arwah dan sering menerima anugerah yang dipilih pelajar sendiri pada setiap kali sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

“Arwah sangat popular dalam kalangan pelajar. Setiap kali ada pelbagai anugerah Hari Guru, satu daripadanya pasti untuk Sir Noazhan (arwah).

“Tiada siapa yang dapat menafikan. Sorakan pelajar selalu bergema apabila nama arwah disebut,” katanya.

Jenazah arwah disembahyangkan di Masjid Lendu, Alor Gajah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lendu Dalam pada jam 5.30 petang semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Rabu lalu, mayat arwah ditemukan beberapa guru SMKGB di atas sofa di ruang tamu rumah keduanya di Taman Lendu Ilmu selepas mereka bergegas ke rumah berkenaan.

Difahamkan, guru berkenaan sepatutnya memuat naik soalan matematik bagi peperiksaan penggal untuk 20 pelajar tingkatan lima sekolahnya dijadual pada jam 10 pagi namun tidak berbuat demikian menyebabkan pelajar menghubungi guru lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Rungutan rakyat perlu diambil serius – KM
Next post Kena peka, mahir untuk bantu rakyat – Penjawat awam
Ubah saiz-+=