Rungutan rakyat perlu diambil serius – KM

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Semua penjawat awam di negeri ini disaran mempercepatkan khidmat dan penyampaian Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyuarakan perkara itu berikutan terdapat rungutan daripada segelintir rakyat yang menegur aspek penyampaian bantuan apabila nombor yang dihubungi tidak dijawab, selain berdepan situasi pejabat ditutup.

“Sungguhpun, saya menerima banyak respon positif di media sosial tentang pakej ini, namun terdapat juga segelintir komen, yang menegur aspek penyampaian
bantuan.

“Antaranya netizen seperti Encik Rosli, Bro. Mael, Isma dan Encik Fong, mengatakan bahawa, ada agensi yang bila dihubungi banyak kali, tetapi tidak berjawab panggilannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Penjawat Awam Julai 2021 yang disiarkan secara dalam talian melalui Facebook (FB) rasmi Sulaiman Md Ali, Kerajaan Negeri Melaka dan Melaka Hari Ini pagi tadi.

Malah, Sulaiman berkata, ada juga rakyat yang datang ke pejabat agensi, tetapi tutup selain yang susah untuk dapatkan bantuan kerana karenah biokrasi.

“Jadi, saya pinta kepada semua agensi dan penjawat awam di Melaka agar, tolong beri perhatian, ambil serius akan hal-hal pelaksanaan sebegini.

“Selepas ini, saya tak mahu lagi, dengar rungutan-rungutan sebegini. Dalam waktu sekarang ini, semampu boleh, kita tolong semua orang yang meminta bantuan,” katanya.

Meskipun begitu, di sebalik rungutan itu, beliau memaklumkan daripada keseluruhan 60 inisiatif berjumlah RM174.53 juta di bawah pakej ransangan itu, ada di antara inisiatif tersebut telah disalurkan kepada rakyat.

Antara yang telah diagihkan termasuklah bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mana lapan daripada 13 inisiatif telah disalurkan kepada rakyat dengan jumlah keseluruhan RM3.3 juta.

“Selain itu, bagi Dana Kasih Niaga, iaitu bantuan disediakan kepada peniaga kecil sebanyak RM1,000, sebanyak 450 pemohon telah diluluskan daripada 781 permohonan yang diterima.

“Untuk 301 permohonan yang tidak lengkap pula, saya sarankan, dilengkapkan dengan segera, supaya dapat diangkat semula untuk diluluskan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post ‘BDR tidak boleh disalahgunakan’ – KM
Next post Komplikasi jantung punca kematian guru Matematik
Ubah saiz-+=