‘BDR tidak boleh disalahgunakan’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberikan kualiti perkhidmatan terbaik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata BDR bukan mengurangkan kualiti, bahkan cabaran menambah mutu penyampaian perkhidmatan.

“Perlu diinga kemudahan BDR dalam Pekeliling Perkhidmatan perlu digunakan secara terkawal. BDR tidak boleh disalahgunakan, mereka yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan tegas.

“Kepada mereka yang bekerja di pejabat pula perlu lebih komited dengan tugasan. Pastikan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Peri penting, gunakanlah pancaindera dan deria kita supaya lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling, Contohnya, jika rakyat perlukan perkhidmatan, kita cepat-cepat bantu dan permudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Penjawat Awam Julai 2021 yang disiarkan secara dalam talian melalui Facebook (FB) rasmi Sulaiman Md Ali, Kerajaan Negeri Melaka dan Melaka Hari Ini pagi tadi.

Ujarnya, jika ada rakyat yang susah dalam situasi sekarang, mereka perlu cepat dibantu atau laporkan pada pihak berkenaan.

“Dalam situasi sekarang jika ada yang susah, lekas-lekas kita bantu atau laporkan kepada pihak berkenaan atau kerajaan negeri supaya mereka boleh ditolong dengan segera.

“Misalnya, dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Melaka baru-baru ini, saya harap agar kita dapat pertingkatkan lagi koordinasi dan penyelarasan dalam kalangan sesama agensi yang terlibat.

“Ini supaya pengurusan sebegini menjadi lebih efisyen, terutama ketika menangani kejadian-kejadian serupa pada masa akan datang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post 223 petugas kesihatan Melaka dijangkiti COVID-19
Next post Rungutan rakyat perlu diambil serius – KM
Ubah saiz-+=