Kepentingan rakyat terus jadi keutamaan PN di sebalik pandemik COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 1 Mac. – Biarpun diuji dengan pandemik COVID-19, kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir kepimpinan di negara ini sejak setahun lalu.

Pelbagai usaha dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penjawat awam bagi memastikan aspek kesejahteraan rakyat terpelihara di sebalik pertumbuhan ekonomi yang mengalami penguncupan kesan pandemik itu.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd Nasrul Menhat berkata, ketika negara menghadapi wabak COVID-19, pelbagai langkah dilakukan kerajaan bagi membela nasib rakyat terutama aspek kesihatan.

MOHD NASRUL…berpuas hati dengan pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sepanjang pandemik COVID-19.

Katanya, pihaknya berpuas hati dengan pelbagai inisiatif diambil pimpinan negara bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat terutama dalam melancarkan pertumbuhan ekonomi biarpun berdepan isu kesihatan dunia.

“Jika kita lihat perancangan kerajaan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP 2.0 beberapa anjakan telah dibuat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus bercambah.

“Dari aspek pemantauan dan penguatkuasaan kerajaan telah menumpukan terutama pada memutuskan rantaian COVID-19 dan memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya kepada pemberita.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berpendapat, usaha bagi memutuskan rantaian wabak terbabit bukannya perkara yang mudah tanpa kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan.

Katanya, dalam tempoh setahun pemerintahan kerajaan PN yang diuji dengan COVID-19, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik dapat dicapai.

“Jentera kerajaan persekutuan dan negeri telah menggembleng tenaga bersama barisan hadapan dalam memastikan penggayaan norma baharu dapat dipraktikkan secara menyeluruh kalangan rakyat.

“Kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil. Sokongan rakyat amat diperlukan bagi memastikan pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi dapat diuruskan dengan sistematik,” katanya.

Hari ini, genap setahun pemerintahan PN dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ‘mengemudi’ negara yang menghadapi pelbagai cabaran terutama krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Dalam tempoh itu pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat di negara ini terus terbela dengan beberapa pelan perancangan ekonomi dan dasar telah diambil dalam penggayaan norma baharu di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post SOP di sekolah baik dengan tahap pematuhan yang tinggi- Radzi
Next post Besar pengorbananmu Mohd Fakhrul
Ubah saiz-+=