Keputusan perincian kesalahan kompaun ingkar PKP akan diumum dalam masa terdekat

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 16 Mac. – Perincian kategori kesalahan yang dikompaun sehingga RM10,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata satu mesyuarat teknikal diadakan hari ini antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

“Keputusannya mungkin akan dibentangkan esok pada mesyuarat kabinet atau mesyuarat khas MKN…apabila dimuktamadkan kita akan umumkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata kerajaan akan memperinci senarai kesalahan dan jumlah kompaun maksimum membabitkan kesalahan berkaitan, dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Darurat COVID-19.

Perkara tersebut dibuat berikutan timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai jumlah kompaun yang dikenakan kerana ada yang beranggapan setiap kesalahan akan dikompaun RM10,000.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seperti dijelaskan sebelum ini, jumlah kompaun adalah berdasarkan kategori kesalahan ingkar yang dilakukan.

“Contohnya jika individu yang dikompaun itu daripada kategori berpendapatan rendah dan mempunyai bilangan anak ramai, dia boleh merayu dan atas budi bicara kepada pegawai kesihatan untuk menentukan (kadar kompaun) atau melepaskan.

“Kita bersetuju supaya KKM membuat perincian kesalahan dan jumlah untuk dikompaun contohnya mengunjungi kelab malam nilai kompaun dikenakan adalah RM10,000 dan bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka pula berapa nilai maksimum yang dikenakan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan terbabit hanya berkuasa untuk mengeluarkan surat kompaun manakala KKM bertindak sebagai pihak untuk mengurangkan dan menerima bayaran kompaun.

Nilai kompaun RM10,000, katanya adalah termaktub dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) yang menetapkan mana-mana individu melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 boleh didenda RM10,000 manakala denda RM50,000 kepada syarikat dan perbadanan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post Rasuah RM1.6 j: Pegawai JPJ antara 11 direman
Next post JPJ sahkan 32 anggota ditahan disyaki terbabit rasuah
Ubah saiz-+=