Kerajaan negeri cadang pengamal media terima vaksin fasa kedua

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 April – “Saya akan cuba sedaya-upaya saya untuk mendapatkan ‘slot’ (suntikan vaksin COVID-19) kepada pengamal media termasuk media di Pejabat Ketua Menteri Melaka.

“Tidak mengapalah jika anak saya sendiri tidak dapat kerana dia muda lagi tetapi bagi individu-individu yang sentiasa bersama saya di program umum, saya akan cuba yang terbaik (untuk mendapatkan slot itu),” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya pengamal media Melaka khususnya tidak diketepikan dan menjadi antara penerima pertama bagi fasa kedua vaksin itu.

Menurutnya ini kerana kumpulan itu antara petugas barisan hadapan yang sering menghadiri program umum dan bertemu ramai orang serta berada di kawasan berisiko bagi membawakan perkembangan terkini berita semasa kepada rakyat.

SULAIMAN memotong kek sempena sambutan Hari Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75 di RTM Jalan Taming Sari, di sini hari ini.

“Berdasarkan keputusan KKM, fasa kedua membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas manakala bagi fasa ketiga adalah bagi individu berusia 18 tahun ke atas.

“Jika boleh, saya mahu pengamal media di negeri ini menjadi antara penerima awal vaksin kerana mereka selalu ada bersama saya serta berada di program umum bagi membawakan perkembangan berita terkini kepada rakyat.

“Bagaimanapun kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk keputusan itu sebaliknya saya akan cuba memohon kepada KKM supaya pengamal media diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75 di RTM Jalan Taming Sari, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Penyiaran Melaka, Mohd Yusni Mohammed Ali dan Timbalannya, Fitri Al-Ibni Nadzri.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, fasa kedua bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 19 April ini.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras program berkenaan berkata, janji temu akan mula diberikan menerusi aplikasi MySejahtera dan panggilan telefon serta SMS akan bermula pada 5 April iaitu dua minggu sebelum pemberian vaksin fasa kedua diberikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

304
Kongsi :
Previous post Nelayan rayu JPS korek muara Kuala Sungai Baru
Next post MUFC tak gentar penyokong Harimau Selatan
Ubah saiz-+=