MUFC tak gentar penyokong Harimau Selatan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KEHADIRAN penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi JDT menentang Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) malam esok diyakini akan mengembalikan kemeriahan Liga Super 2021.

Pengurus pasukan MUFC, Muhammad Akram Abdullah berkata, walaupun terpaksa beraksi di hadapan 2,000 penyokong skuad Harimau Selatan itu, namun beliau tidak melihatnya satu kelemahan kepada pasukannya.

Sebaliknya, beliau percaya ‘riuh rendah’ sorakan itu akan lebih memberikan semangat kepada pemain untuk membuktikan sesuatu dan memberikan kejutan dalam perlawanan itu.

“Kita semua amat merindukan sorakan penyokong di stadium, walaupun sorakan itu hanya datang daripada penyokong JDT sahaja, namun saya tidak nampak ia memberikan kelemahan kepada kita.

“Bahkan, saya lebih percaya kemeriahan sorakan itu dapat memberikan semangat kepada kedua-dua pasukan untuk memberikan aksi terbaik kepada peminat bola sepak tempatan,” katanya ketika ditemui di sesi latihan MUFC di Stadium Hang Tuah, petang semalam.

Terdahulu, pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan aksi JDT-MUFC pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah FC pada 3 April menjadi perintis bagi kemasukan penonton musim ini selepas lebih setahun liga tidak dimeriahkan kehadiran peminat bola sepak.

Ia selepas kerajaan memberikan lampu hijau untuk membenarkan kehadiran penyokong mengikut had 10 peratus daripada kapasiti stadium atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan 25 peratus atau 8,000 orang di kawasan PKP Pemulihan.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram percaya Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) juga sudah bersedia untuk menyambut kehadiran penyokong skuad Hang Tuah dalam aksi di laman sendiri sejurus diberi kebenaran kelak.

Katanya, segala persiapan itu sedang rancak dijalankan ketika ini bagi memastikan penyokong MUFC diberikan keselesaan dan pada masa sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri cadang pengamal media terima vaksin fasa kedua
Next post Boleh berniaga depan rumah jika tidak dapat di bazar Ramadan.
Ubah saiz-+=