Boleh berniaga depan rumah jika tidak dapat di bazar Ramadan.

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 April – Peniaga yang tidak mendapat tempat di Bazar Ramadan terpilih di negeri ini berikutan kapasiti kawasan terhad, dibenarkan berniaga di lokasi tertentu termasuk di hadapan rumah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, susulan kebenaran penganjuran bazar oleh kerajaan pada 16 Mac lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan penjarakan 1.5 meter antara gerai di kawasan bazar serta membenarkan hanya dua peniaga berada di setiap gerai.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) itu menyebabkan tapak gerai menjadi terhad dan jumlah peniaga terpaksa dikurangkan, selain tiada keperluan untuk meluaskan kawasan bazar kerana dibimbangi menimbulkan kesesakan lalu lintas.

“Berikutan itu kerajaan negeri membenarkan peniaga yang tidak mendapat tapak di bazar berniaga di lokasi dibenarkan termasuk di hadapan rumah.

“Jika tahun lalu, saya benarkan peniaga berniaga menerusi program Melaka Bebas Berniaga, jadi tahun ini perkara sama juga, mungkin boleh berniaga di tempat lain.

“Selain pahala Ramadan diperolehi, kita rebut juga keberkatan mencari rezeki kerana ia juga sebahagian daripadanya,” katanya selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75 di Jabatan Penyiaran Malaysia Melaka, Jalan Taming Sari, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Melaka, Mohd Yusni Mohammed Ali dan Timbalannya, Fitri Al-Ibni Nadzri.

Sementara itu, Sulaiman berkata beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermesyuarat bagi memastikan keluasan (Bazar Ramadan) mematuhi penjarakan fizikal seperti ditetapkan MKN.

“Saya juga maklumkan kepada Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri), kalau kita hendak buat Bazar Ramadan yang lebih luas, ia (mungkin) akan menyebabkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post MUFC tak gentar penyokong Harimau Selatan
Next post M-WEZ dilancar 8 April di Kuala Lumpur, tarik pelabur Jepun, China, Jerman
Ubah saiz-+=