Nelayan rayu JPS korek muara Kuala Sungai Baru

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUALA LINGGI 1 April – Kira-kira 200 nelayan merayu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperdalam muara Kuala Sungai Baru, di sini yang semakin cetek sejak 10 tahun lalu.

Ini kerana hanya nelayan yang menggunakan perahu gentian kaca mampu melalui muara ketika air surut manakala nelayan menggunakan bot besar tidak mampu berbuat demikian.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) Mazelan Bakar berkata, nelayan yang menggunakan bot besar terpaksa bertarung dengan waktu setiap kali turun ke laut dan naik ke pangkalan.

NELAYAN terpaksa menolak perahu gentian kaca ketika melalui muara Kuala Sungai Baru kerana air surut menyebabkan dasar muara yang dipenuhi kelodak timbul.

“Ketika air surut bot tidak mampu melepasi muara kerana dasar muara timbul tetapi perahu kecil masih boleh melepasinya tetapi nelayan terpaksa menolak perahu.

“Jika nelayan balik dari menangkap ikan, mereka harus memastikan air masih pasang dan jika sudah surut pun, jangan sampai suruh habis bagi memastikan bot mampu melepasi kawasan cetek,” katanya ketika ditemui di muara itu hari ini.

Beliau mendakwa, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan PNKMB sudah beberapa kali memohon JPS mengambil tindakan memperdalam muara.

Katanya, sebelum ini beberapa pegawai JPS sudah meninjau keadaan di muara itu dan bersedia membawa perkara berkenaan kepada kerajaan negeri atau Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi mendapatkan peruntukan.

Mazelan mendakwa, setiap kali nelayan yang menggunakan bot besar pulang dari menangkap ikan tetapi terlepas waktu air pasang di muara, mereka terpaksa menggunakan Jeti Nelayan Kampung Telok Gong, kira-kira lima kilometer dari muara.

DASAR muara Kuala Sungai Baru timbul ketika air surut dan menyebabkan bot besar nelayan tidak mampu melepasinya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan nelayan terpaksa membawa kenderaan ke jeti berkenaan untuk memuatkan ikan yang dipunggah keluar dari bot.

“Keadaan itu menyebabkan jeti berkenaan sesak dengan bot nelayan dari Kuala Sungai Baru yang terpaksa berkongsi tempat menambat bot dengan bot nelayan Telok Gong,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, jurutera JPS sudah menjalankan kajian mengenai keperluan memperdalam muara dan mendapatkan beberapa dapatan kajian.

“KASA sudah meneliti perkara yang kami bawa kepada pihak kementerian dan bersedia menyediakan peruntukan.

“Kami masih menunggu surat setuju terima daripada kementerian yang dijangka diperoleh tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau meminta nelayan lebih berhati-hati ketika melalui muara berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Pengguna boleh bawa kes ke mahkamah, selain TTPM – Rosol
Next post Kerajaan negeri cadang pengamal media terima vaksin fasa kedua
Ubah saiz-+=