Kerajaan negeri nafi hutan paya bakau Tanjung Tuan ‘nazak’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Kerajaan negeri menafikan hutan paya bakau seluas 1.2 hektar di Tanjung Tuan, ‘nazak’ akibat tumpahan minyak kapal dari Selat Melaka, Oktober lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Jabatan Perhutanan negeri memaklumkan kawasan yang terjejas akibat tumpahan minyak hanya membabitkan persisir pantai Tanjung Tuan sahaja.

Katanya, Jabatan Perhutanan negeri telah mendapat peruntukan untuk menanam semula pokok bakau di hutan simpan kekal itu selepas keadaan tanah kembali pulih.

SULAIMAN…hutan paya bakau di Tanjung Tuan tidak ‘nazak’ seperti dilaporkan.

“Ada kawasan hutan yang tidak terjejas dan kesuburuan tanah masih mampu untuk membiakkan pokok bakau.

“Saya dimaklumkan kawasan Pantai Cermin di lokasi sama sudah pun dapat dipulihkan daripada pencemaran dan kita dapati perkara ini dalam kawalan, tidaklah terlalu teruk atau nazak seperti yang dilaporkan sebelum ini,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di pejabatnya, di Seri Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerja membersihkan kawasan hutan bakau seluas 1.2 hektar itu sudah dilakukan pada Oktober tahun lalu, namun ia mengambil masa untuk dibersihkan sepenuhnya.

“Kawasan tersebut mengambil masa dua tahun untuk pulih sepenuhnya, malah ketika mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan, kawasan terjejas itu sudah dibersihkan.

“Kajian sedang dilakukan bagi mengenal pasti proses pemulihan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1964
Kongsi :
Previous post ‘Situasi menang-menang’, beri pampasan kepada nelayan- Sulaiman
Next post KADMDI sasar 5,000 belia ceburi bidang usahawan
Ubah saiz-+=