Kerajaan negeri salur bantuan pembaikan rumah mangsa ribut

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

REMBIA 13 Jun – Mangsa ribut di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, di sini semalam tidak akan dibiarkan sendirian menjalankan kerja pembaikan kediaman.

Sebaliknya, enam rumah yang rosak, termasuk dua yang rosak teruk akibat dilanda ribut pada jam 11.30 pagi semalam, akan diberikan bantuan kerja pembaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Mohd Jailani Khamis berkata, empat rumah akan dibantu melalui peruntukan Tabung Bencana Alam Negeri manakala dua lagi melalui peruntukan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia.

MOHD Jailani (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Shaari di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, Alor Gajah.

“Peruntukan melalui tabung itu hanya boleh diberikan kepada rumah yang rosak kena ribut manakala sumbangan melalui peruntukan JAPERUN diberikan kepada kerosakan struktur selain rumah, seperti garaj,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau kerosakan rumah dan garaj penduduk di kampung itu, hari ini.

MOHD Jailani meneliti garaj Shaari yang diterbangkan angin kencang di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, Alor Gajah.- Foto DIN AHMAD

Mohd Jailani yang juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri turut menyampaikan sumbangan bahan makanan dan wang tunai kepada mangsa.

Dalam kejadian ribut itu, dua daripada rumah penduduk mengalami kerosakan teruk pada bumbung manakala dua lagi kerosakan kecil pada struktur rumah dan dua lagi hanya membabitkan kerosakan garaj.

Seorang mangsa, Shaari Kassim, 65, berkata, ribut yang melanda menyebabkan keseluruhan bumbung garajnya tercabut.

“Ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana saya di kebun manakala anak sudah keluar dan sebaik sahaja pulang ke rumah saya dapati bumbung garaj sudah hilang,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap JAPERUN Rembia dapat menghulurkan sumbangan bagi membolehkan bumbung garaj dipasang semula.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post SOP ketat dinilai semula jika kes COVID turun bawah 4,000 kes- Ismail Sabri
Next post Satu lagi ‘kluster kilang’ di Melaka
Ubah saiz-+=