Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI TELITI TUNTUTAN KONTRAKTOR BERHUBUNG PEMBATALAN PROJEK PEJABAT MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Kerajaan Negeri sedang meneliti tuntutan kontraktor susulan pembatalan projek pembinaan bangunan pejabat baharu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Klebang.

Mengikut perancangan projek itu sepatutnya dilaksanakan secara kaedah reka dan bina dengan kos keseluruhan RM138.88 juta.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata projek tersebut dimulakan pada 28 September 2016 dan sepatutnya siap pada 27 Mac 2019, namun dihentikan oleh Kerajaan Negeri hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 Mei 2018

Katanya, cadangan pembinaan bangunan pejabat baharu MBMB itu timbul susulan pelaksanaan persempadanan semula Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 1 Januari 2010 yang menyaksikan kewujudan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Langkah itu menyebabkan pejabat sedia ada MBMB di Ayer Keroh terletak luar dari kawasan pentadbirannya. Timbul satu situasi bertentangan dengan peruntukan Seksyen 19 Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang menetapkan setiap pihak berkuasa tempatan perlu mempunyai pejabat dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

“Tapak asal projek pejabat baharu MBMB seluas 88,127 meter persegi di Padang Semabok telah ditukar kepada pembangunan Perumahan Mampu Milik (PMM), manakala tapak baharu di Pantai Klebang berkeluasan 49,695 meter persegi telah diluluskan.

“Bayaran premium tanah sebanyak RM23.98 juta telah dijelaskan oleh MBMB pada 29 November 2017 dan dokumen hak milik sementara dikeluarkan pada 14 Disember 2017,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata susulan pembatalan projek, satu rundingan telah diadakan antara MBMB dan kontraktor pada 6 Jun 2023, namun menerusi surat 22 Jun 2023 kontraktor memaklumkan tidak bersetuju dengan penamatan tersebut.

“Pada 18 April 2025 MBMB telah menawarkan RM4,494,616.93 sebagai jumlah penyelesaian penuh dan memuktamadkan kes ini termasuk wang tahanan (retention sum) yang dipegang MBMB.

“Sebaliknya kontraktor bersetuju untuk membuat tawaran balas penyelesaian penuh kes menamatkan kontrak bayaran pampasan berjumlah RM49,49,616.93.

“MBMB kini sedang meneliti tuntutan berdasarkan Fasal 63 dalam syarat kontrak termasuk bayaran bagi kerja yang dilaksanakan termasuk perbelanjaan munasabah lain ditanggung kontraktor dan kes sedang melalui tindakan undang-undang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post JEREBU: MELAKA AKTIFKAN SEGERA JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA DAERAH
Next post 23 PUSAT JAGAAN, TASKA DIAMBIL TINDAKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN