Kerajaan sedia terima kritikan, namun tidak bertolak ansur sentimen 3R

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA, 2 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan kerajaan bersedia menerima sebarang kritikan, namun kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum).

Beliau berkata kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna kebebasan untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati.

“Raja-raja Melayu secara konsesus meminta supaya kerajaan lebih tegas menghalang.. ini kerana mereka merasa tidak adil. (Raja-raja Melayu) diserang tapi (Raja-raja Melayu) tak boleh jawab.

“… semua cakap nak pertahan Melayu, parti pun parti Melayu, tapi maki Raja-raja Melayu… saya tidak akan bertolak ansur (bagi yang) langgar peraturan ini, polis akan bertindak tegas dan saya minta peguam negara kaji dan bawa ke mahkamah biar mahkamah putuskan,” katanya dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam ini.

Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak-pihak yang menyentuh institusi raja-raja, sebagai contoh dakwaan penglibatan raja dalam penubuhan kasino.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini menegaskan mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu diambil tindakan undang-undang.

Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City.

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Astro Awani) dan Azaria Tagaya (TV3). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

71
Kongsi :
Previous post UTeM bina ‘Rumah Alumni’ RM5 juta
Next post Lawatan kerja PM bina keyakinan syarikat Malaysia terlibat dalam projek besar di Arab Saudi
Ubah saiz-+=