UTeM bina ‘Rumah Alumni’ RM5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memulakan proses pembinaan Rumah Alumni UTeM dengan reka bentuk terkini berkonsep moden dan terbuka.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, projek pembinaan rumah alumni yang berkeluasan 2,500 meter persegi itu dianggar bernilai RM5 juta yang mana pembinaannya dijangka bermula pada tahun ini.

Jelas beliau, rumah tersebut bakal berkonsepkan dewan yang boleh memuatkan seramai 1,000 orang dalam satu-satu masa, secara tidak langsung ia menepati keperluan universiti bagi penganjuran program berskala besar.

“Konsep pembinaan Rumah Alumni ini pula menggabungkan elemen moden dan ‘open-concept’ dan ia boleh dijadikan satu lokasi bagi tujuan penjanaan pendapatan juga melalui sewaan yang boleh dibuat kepada pihak luar.

“Ia dilengkapkan dengan beberapa ruang utama seperti dewan konvensyen (berkonsep rumah kaca), bilik mesyuarat, ruang seminar dan sebagainya yang boleh digunapakai bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Alumni UTeM di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Tambah beliau, secara spesifiknya projek pembinaan Rumah Alumni itu telah berada dalam fasa permulaan yang sedang giat diuruskan oleh Pejabat Pengurusan Pembangunan UTeM.

Mengulas tentang pembiayaan pembinaan Rumah Alumni sebanyak RM 5juta, ia diperolehi menerusi sumbangan Alumni UTeM sebanyak RM2 juta manakala baki RM3 juta lagi adalah menerusi Tabung Endowment UTeM.

“Hal ini menzahirkan kemajuan dan kesepakatan antara kumpulan Alumni UTeM bersama dengan pihak UTeM sendiri yang sentiasa komited menerusi pembiayaan wakaf demi kepentingan bersama,” ujarnya lagi.

Projek Rumah Alumni UTeM merupakan sebahagian pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3) dan Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi (SDG 8) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Alumni UTeM ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Dr. Husaini Omar.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar; Timbalan Naib Canselor Hal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Alumni, Kerjaya & Kebolehpasaran (U-ACE), Dr. Hazli Rafis Abdul Rahim.

Menyentuh mengenai kemajuan Alumni UTeM, Dr Hazli Rafis berkata, sehingga kini jumlah Alumni UTeM adalah seramai 42,086 orang dan dengan jumlah ini, UTeM dapat merealisasikan pelbagai perkara dengan kerjasama daripada Alumni UTeM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post Kerajaan akan terus pantau kadar inflasi susulan kenaikan gaji penjawat awam – PM
Next post Kerajaan sedia terima kritikan, namun tidak bertolak ansur sentimen 3R
Ubah saiz-+=