Lawatan kerja PM bina keyakinan syarikat Malaysia terlibat dalam projek besar di Arab Saudi

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

PUTRAJAYA, 2 Mei – Kejayaan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Riyadh, Arab Saudi, baru-baru ini, bukan sahaja diterjemahkan dari segi pelaburan tetapi juga membina keyakinan untuk  syarikat Malaysia diberi peluang terlibat dalam projek-projek besar di negara tersebut.

Pada program “Soal Jawab Perdana Menteri” yang disiarkan oleh empat stesen TV tempatan termasuk Bernama TV hari ini, beliau berkata dalam lawatan tersebut, Malaysia diberi peranan dan penghormatan yang tinggi oleh kerajaan Arab Saudi, sekali gus sebagai satu pengiktirafan kepada negara.

Anwar berkata beliau juga mengambil peluang untuk menerangkan kepada pelabur yang berminat dengan Malaysia serta inisiatif dan insentif sedia ada yang ditawarkan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menerangkan, secara tradisinya, pelabur asing dalam negara adalah dari Amerika Syarikat, Eropah termasuk Jerman selain China dan India, bagaimanapun, kerajaan juga melihat kepada potensi negara-negara Arab Teluk seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar.

“Contohnya Arab Saudi…Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman memberi dokongan kepada ACWA Power, syarikat tenaga yang memutuskan pelaburan melebihi US$10 bilion, bermula di Melaka dan Kerian (Perak) dan mungkin satu dua tempat yang mereka pilih.

“Selain itu, (terdapat juga perbincangan dengan) syarikat-syarikat lain dan kerjasama dalam bidang lain. Kita juga meminta mereka (Arab Saudi) memberi perhatian kepada syarikat-syarikat kita yang berupaya, bukannya melabur tetapi (peluang) mendapat kontrak pembangunan, pembinaan, teknologi maklumat (IT) di Arab Saudi.

“Ini bermakna diberi peluang sekarang. Contohnya dalam projek-projek besar seperti Neom. Nampaknya, Malaysia diberi perhatian. Dokongan dan sokongan peribadi daripada pemimpin-pemimpin luar penting untuk mereka beri perhatian kepada negara Malaysia,” kata beliau.

Neom merupakan sebuah projek mega utama yang dilancar pada 2017 dan sedang dibina di Wilayah Tabuk, di barat laut Arab Saudi. Ia dianggarkan mempunyai pembangunan bernilai US$500 bilion (kira-kira RM2.24 trilion) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.

Perdana Menteri telah mengadakan lawatan kerja ke Riyadh untuk menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) bermula Sabtu lepas hingga 29 April.

Lawatan kerja Anwar adalah atas jemputan Mohammed bin Salman dan beliau turut diringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri turut menyertai Sesi Panel bertemakan “Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global”  bersama pemimpin-pemimpin negara lain semasa Pembukaan Mesyuarat Khas ini.

Selain itu, Anwar turut menyampaikan ucaptama ketika menyertai “Joint Regional Strategy Dialogue on ASEAN – Gulf Cooperation Council (GCC)”  yang diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

56
Kongsi :
Previous post Kerajaan sedia terima kritikan, namun tidak bertolak ansur sentimen 3R
Next post Agong berkenan berangkat ke Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka
Ubah saiz-+=