Kerangka dasar pentadbiran dikekal dan ditambah baik – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERI NEGERI 31 Mac – Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan mengekalkan dan menambah baik segala kerangka dasar serta peraturan sedia ada bagi kelancaran urus tadbir pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ab Rauf turut meminta pembuat dasar terutama penjawat awam untuk bersamanya dalam memikirkan kerangka dasar baharu bagi memberikan impak berkesan, sekali gus memacu Melaka ke era lebih gemilang.

Turut menjadi azam dan Iltizam Ab Rauf sebagai Ketua Menteri adalah mengangkat Negeri Melaka sebagai lokasi pilihan utama pelabur.

“Ingin saya tegaskan, bahawa apa juga yang telah dirancangkan (kerangka dasar) oleh pimpinan terdahulu, saya akan memikul tanggungjawab dan memberikan penambahbaikan kepada program atau projek yang diusahakan.

“Saya akan jadikan negeri ini ‘Business Friendly State’ dan ‘Investor Friendly’ bagi merancakkan lagi ekonomi Melaka. Ia berikutan banyak permintaan daripada pelabur luar, sama ada pelabur sederhana, besar atau berskala tinggi.

“Sebelum ini saya telah mengambil langkah awal ketika menjadi Exco Pelaburan dengan merangka 5,000 ekar tanah di utara Melaka dalam Daerah Alor Gajah dan Masjid Tanah untuk dijadikan kawasan perindustrian bersepadu.

“Selain itu saya juga ingin melihat penambahbaikan kemudahan hospital di negeri ini dengan pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-kanak pertama di Melaka. Turut menjadi keutamaan saya adalah mengenai infrastruktur jalan raya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata perkara lain akan diberikan fokus adalah jalan raya menghubungkan pusat bandar dan membuat pembaharuan mengenai ‘transit distribution’ di Bandar Melaka serta sekitarnya.

“Turut dikekalkan adalah moto dan slogan Kerajaan Negeri iaitu ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia Menggamit Dunia’ dan tidak akan berubah,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1235
Kongsi :
Previous post Pelantikan Exco baharu dalam tempoh 48 jam – Ab Rauf
Next post Terima kasih atas kepercayaan kepada saya – Ab Rauf
Ubah saiz-+=