Pelantikan Exco baharu dalam tempoh 48 jam – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 31 Mac – Pelantikan barisan Exco baharu Kerajaan Negeri Melaka akan diputuskan dalam tempoh 48 jam.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau sedang membuat pertimbangan sewajarnya bagi melantik barisan Exco Kerajaan Negeri baharu.

Katanya, keputusan pelantikan baharu sama ada mewujudkan Kerajaan Perpaduan atau tidak juga akan dirujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Barisan Exco akan diputuskan dalam masa terdekat, bukan dua minggu, tapi dalam tempoh 48 jam.

“Sama ada saya akan menubuhkan kerajaan perpaduan di Melaka, saya tidak mendapat panduan lagi namun saya akan merujuk kepada pucuk pimpinan Presiden (Ahmad Zahid) dahulu bagi memastikan apa hala tuju dan daripada situ saya akan ambil untuk merangka barisan Exco,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta kenamaan lain.

Ketika ditanya sama ada barisan Exco lama akan kekal, Ab Rauf berkata jawatan yang sebelum ini telah automatik terbubar.

“Sekarang sudah tiada Exco, jawatan Exco saya juga telah pun tergugur dan tiada jawatan Exco sehingga lantikan baharu dibuat.

“Kita akan lihat seperti mana ia (barisan Exco Kerajaan Negeri) akan terbentuk di Melaka bentuk dan kaedahnya saya masih belum dapat lagi.

“Namun apa jua yang dirancang oleh Ketua Menteri terdahulu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, akan diteruskan dan ditambah baik di bawah kepimpinan saya,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, pada jam 3.33 petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2421
Kongsi :
Previous post Ab Rauf terima nota serah tugas sebagai KM Ke-13
Next post Kerangka dasar pentadbiran dikekal dan ditambah baik – Ab Rauf
Ubah saiz-+=