Ab Rauf terima nota serah tugas sebagai KM Ke-13

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 31 Mac – Ketua Menteri Melaka Ke-13 Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima nota serah tugas daripada Mantan Ketua Menteri Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, hari ini.

Majlis penyerahan itu telah diadakan di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Seri Negeri, di sini, kira-kira jam 4.25 petang tadi.

Kedua-dua pemimpin yang mengenakan berbaju hitam dan bersamping emas hitam itu tiba di majlis berkenaan pada jam 4.20 petang selepas selesai Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Dewan Seri Utama

Majlis penyerahan nota serah tugas itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Ab Rauf, 62 yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara telah diabsahkan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 selepas mengangkat sumpah pada jam 3.33 petang tadi

Istiadat itu disempurnakan Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di pejabatnya di Seri Negeri dan disaksikan Zaidi serta Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis.

Sebelum ini, Ab Rauf merupakan Exco Kanan Pelaburan Perindustrian Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13
Next post Pelantikan Exco baharu dalam tempoh 48 jam – Ab Rauf
Ubah saiz-+=