Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 31 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, pada jam 3.33 petang ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama.

Hadir sama pada istiadat itu isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut hadir menyaksikan acara angkat sumpah itu mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M.Yusop; barisan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Ab Rauf, 62, bukan lagi nama asing dalam landskap negara memandangkan beliau merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka sejak 2018 serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebelum menyambung pendidikan di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kuala Lumpur.

Ketika berlaku perubahan kerajaan pada Mac 2020, Ab Rauf dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka pada tanggal 11 Mei.

Kemudian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan November 2021, Ab Rauf yang pertama kali bertanding menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara selepas memperoleh 3,559 undi dalam saingan tiga penjuru.

Anak jati kelahiran Masjid Tanah itu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang memperoleh 3,195 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan (489 undi).

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

Pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac lepas, Ab Rauf turut diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Beliau kemudiannya dilantik mengekalkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 22 Mac lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1884
Kongsi :
Previous post UTeM perkenal Menu Siswa Rahmah RM3.50
Next post Ab Rauf terima nota serah tugas sebagai KM Ke-13
Ubah saiz-+=